Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos menafikan laporan yang mendakwa beliau memeluk Islam selepas berkahwin dengan ahli perniagaan Maghribi, Souheila Tahiri.
Bekas pertahanan Real Madrid itu tampil menjelaskan perkara berkenaan ketika bercakap secara eksklusif kepada akhbar Arab Saudi, Okaz, semalam, sekali gus menolak khabar angin yang tersebar mengenai pegangan agamanya.
“Saya sangat menghormati Islam dan amat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin yang tersebar mengenai saya memeluk Islam adalah tidak benar,” kata Carlos.
Penjelasan itu dibuat selepas media sosial dan beberapa saluran media melaporkan bekas pemain berusia 53 tahun berkenaan sudah memeluk Islam kira-kira empat minggu lalu.
Malah, sesetengah laporan mendakwa Carlos melafazkan syahadah ketika bertemu Sheikh Jihad Hamada, seorang tokoh terkenal dalam komuniti Islam di Brazil.
Spekulasi berkenaan semakin mendapat perhatian selepas beberapa gambar tersebar dalam talian yang didakwa menunjukkan Carlos dan Tahiri melangsungkan majlis perkahwinan secara Islam di hadapan seorang tokoh agama.
Bagaimanapun, Carlos menegaskan sambutan perkahwinan mereka sebenarnya dilangsungkan dalam beberapa bentuk bagi menghormati pegangan agama serta latar belakang ahli keluarga dan rakan-rakan kedua-dua pihak.
Menurut bekas pemain antarabangsa Brazil itu, pasangan berkenaan mahu memastikan keluarga Carlos yang beragama Katolik diraikan, selain mengadakan majlis yang mencerminkan latar belakang Tahiri sebagai wanita Maghribi serta menghormati rakan-rakan isterinya yang beragama Islam.
Kepelbagaian unsur dalam sambutan perkahwinan berkenaan dipercayai menjadi antara faktor yang mencetuskan spekulasi mengenai pegangan agama Carlos.
Namun, kenyataan terbaharu Carlos menjelaskan bahawa kehadiran atau penyertaannya dalam majlis yang berkaitan dengan agama isterinya tidak membawa maksud beliau sudah menukar pegangan agamanya.
Dalam temu bual sama, Carlos turut berkongsi mengenai permulaan hubungannya dengan Tahiri.
Menurutnya, mereka pertama kali bertemu menerusi satu pertemuan perniagaan berkaitan bola sepak. Carlos menyifatkan Tahiri sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berkata hubungan mereka sudah terjalin selama kira-kira dua tahun.
Hubungan berkenaan kemudiannya berkembang dalam aspek peribadi dan profesional sebelum pasangan itu mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan mereka mendapat perhatian di Maghribi dan Brazil, terutama kerana latar belakang Tahiri sebagai wanita Maghribi serta kedudukan Carlos sebagai antara tokoh paling dikenali dalam dunia bola sepak.
Carlos menikmati karier gemilang bersama Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil serta secara meluas dianggap sebagai antara bek kiri menyerang terbaik dalam sejarah bola sepak.
Kenyataan terbaharu itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai agamanya, selain menjelaskan bahawa kepelbagaian majlis perkahwinan pasangan berkenaan bertujuan menghormati tradisi budaya dan agama dalam keluarga masing-masing.