SUKAN

Nasihat Kien Keat isu babitkan Chia-Wooi Yik dengan BAM

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien Keat menyarankan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengadakan perbincangan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mencapai persetujuan terbaik mengenai masa depan mereka sebagai pasangan.

Kien Keat berkata, sekiranya Aaron-Wooi Yik benar-benar mahu terus bergandingan, kedua-duanya boleh mendapatkan persefahaman dengan BAM dan barisan kejurulatihan dengan diberikan tempoh tertentu untuk membuktikan kemampuan mereka.

Menurutnya, tempoh sembilan bulan sebelum bermulanya kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) pada Mei tahun depan boleh dimanfaatkan pasangan itu untuk menunjukkan mereka masih mampu bersaing di pentas tertinggi.

“Saya rasa mereka sendiri perlu bercakap dengan pihak pengurusan dan jurulatih kerana ini mengenai masa depan mereka. Kalau betul-betul mahu bersama, mungkin boleh berbincang dan beri tempoh enam atau tujuh bulan.

“Kalau dalam tempoh itu mereka dapat beri persembahan terbaik, menang satu atau dua kejuaraan atau berada di ranking nombor satu dunia, mungkin boleh diteruskan. Tetapi kalau tidak, mereka perlu akur dengan keputusan yang dibuat BAM dan barisan kejurulatihan,” katanya.

Masa depan pasangan nombor empat dunia itu menjadi tanda tanya selepas barisan kejurulatihan beregu lelaki negara yang diketuai Herry Iman Pierngadi melakukan rombakan sejak bulan lalu dengan beberapa gandingan diuji bersama pasangan berbeza.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik membuktikan mereka masih mampu mencabar sebagai satu gandingan apabila muncul naib juara Kejohanan Dunia di New Delhi, India, Ahad lalu.

Wooi Yik turut memberi bayangan bahawa dia bersedia mempertimbangkan semua pilihan termasuk bergerak secara profesional sekiranya langkah itu menjadi jalan terbaik untuk memastikan dia dan Aaron kekal bersama dalam misi memburu pingat emas LA28.

Kien Keat, yang pernah menjuarai Seluruh England bersama Tan Boon Heong pada 2007, berkata pencapaian dalam satu kejohanan tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal dalam menentukan masa depan sesebuah pasangan.

Menurutnya, aspek lebih penting ialah kemampuan mengekalkan prestasi secara konsisten, manakala BAM dan barisan kejurulatihan perlu mengambil kira sasaran jangka panjang menjelang Olimpik.

“Kalau dari sudut pengurusan dan jurulatih, mereka melihat kepada keputusan. Kalau tiada keputusan, mereka mungkin rasa pasangan lain boleh memberikan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Kien Keat turut menyokong pendirian Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang menegaskan keputusan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan satu atau dua kejohanan.

Beliau pada masa sama menasihatkan Aaron-Wooi Yik supaya tidak membuat keputusan secara terburu-buru dan sebaliknya menyelesaikan perkara berkenaan menerusi perbincangan bersama BAM.

“BAM sudah banyak membantu mereka sejak awal sehingga mereka menjadi juara dunia. Jadi saya rasa perkara ini perlu dibincangkan dengan baik dan bukan kerana emosi,” katanya.

Kien Keat menegaskan nilai sebenar seseorang pemain atau pasangan tidak hanya diukur melalui satu kejayaan, sebaliknya berdasarkan kemampuan mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi secara konsisten.