SUKAN

Faktor Utama Julang Malaysia ke pentas Piala Asia

Mentaliti tidak mengenal erti menyerah menjadi antara faktor utama yang membantu skuad bawah 20 tahun negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di China tahun depan selepas mengharungi kempen kelayakan yang mencabar.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kejayaan barisan kendalian Shukor Adan sebagai hasil dedikasi, pengorbanan dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan pemain serta barisan kejurulatihan sepanjang kempen.

Menurutnya, kesungguhan skuad muda negara untuk terus berjuang sehingga aksi terakhir menjadi antara elemen penting yang membolehkan Malaysia kembali beraksi di pentas Piala Asia B-20 selepas kali terakhir melakukannya pada 2018.

“Tahniah kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Shukor Adan dan semua pemain atas kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia B-20.

“Dedikasi, pengorbanan dan semangat kerja berpasukan mereka akhirnya membuahkan hasil. Saya bangga dengan semua yang menyumbang kepada kejayaan istimewa ini,” katanya.

Malaysia menutup kempen Kumpulan H dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Laos di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, malam tadi. Keputusan itu merupakan kemenangan pertama skuad negara selepas sebelum ini mencatat dua keputusan seri dalam dua aksi terdahulu.

Malaysia terlebih dahulu terikat tanpa jaringan 0-0 menentang Indonesia sebelum mencatat keputusan 2-2 ketika berdepan Australia. Secara keseluruhan, skuad negara mengumpul lima mata selepas tiga perlawanan dalam kumpulan berkenaan.

Namun, keputusan menentang Laos tidak diambil kira dalam pengiraan kedudukan naib juara terbaik selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menetapkan bahawa aksi menentang pasukan tercorot dalam kumpulan tidak membawa sebarang pungutan mata. Ketetapan itu dibuat susulan tindakan Filipina dari Kumpulan A menarik diri.

Situasi berkenaan bermakna dua mata yang diperoleh Malaysia hasil keputusan seri menentang Indonesia dan Australia menjadi penentu utama. Jumlah itu sudah mencukupi untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada tujuh naib juara terbaik, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan akhir di China tahun depan.

Indonesia pula muncul juara Kumpulan H dan turut melayakkan diri, manakala Australia yang juga antara pasukan pilihan sekadar menduduki tempat ketiga serta gagal mempertahankan kejuaraan.

Kejayaan itu memberikan ruang kepada skuad kendalian Shukor untuk terus memperkemas prestasi sebelum menghadapi cabaran lebih besar menentang pasukan terbaik Asia di pusingan akhir yang dijadual berlangsung dari 24 Mac hingga 10 April tahun depan.

Di pentas berkenaan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir akan memperoleh tiket automatik ke Piala Dunia B-20 yang bakal dianjurkan Azerbaijan dan Uzbekistan tahun depan. Justeru, kelayakan ke China menjadi langkah penting buat Malaysia dalam meneruskan perkembangan prestasi di peringkat lebih tinggi.