SUKAN

Bukan tempoh panjang – Shukor

Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Shukor Adan mahu setiap ruang dalam tempoh enam bulan akan datang digunakan secara maksimum bagi mempersiapkan pasukan menghadapi Piala Asia B-20 2027 di Hangzhou, China.

Malaysia mengesahkan kelayakan ke kejohanan yang dijadual berlangsung pada Mac dan April tahun depan selepas muncul antara tujuh pasukan tempat kedua terbaik dalam kempen kelayakan.

Bagaimanapun, Shukor menegaskan kejayaan mendapatkan tiket ke pentas Asia hanyalah satu langkah kerana tugas lebih besar kini menanti barisan kejurulatihan dalam memastikan pasukan berada pada tahap lebih baik sebelum berdepan saingan sebenar.

Beliau mengakui enam bulan bukan tempoh yang panjang apabila mengambil kira beberapa perkara perlu diselesaikan, termasuk mengenal pasti kelemahan skuad, menilai pemain dan menyediakan perancangan persiapan yang bersesuaian.

Sebagai bekas tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Shukor memahami tahap persaingan Piala Asia menuntut persiapan lebih rapi kerana pasukan yang berjaya melayakkan diri merupakan antara pencabar terbaik di benua ini.

“Saya dan staf kejurulatihan akan bincang apa yang kami nampak kelemahan dan perlu perbaiki sebelum ke Piala Asia. Kami tahu Piala Asia ialah kejohanan yang sukar dan pasukan yang melayakkan diri juga adalah pasukan yang hebat.

“Banyak lagi kerja saya perlu buat. Jadi saya berasa enam bulan ini bukan satu jangka masa yang panjang sebenarnya dan saya kena plan juga dengan barisan kejurulatihan yang ada mengenai bagaimana perancangan untuk pasukan.

“Buat masa sekarang, saya rasa saya tak boleh nak buat persiapan lebih terperinci sebab pemain masih ada kejohanan yang mereka perlu beraksi. Jadi apabila habis Piala Belia dan Piala Presiden nanti, baru persiapan lebih rapi dapat dilakukan.

“Namun, perancangan perlu dimulakan dari sekarang dan pemain mungkin akan dikumpulkan awal tahun depan,” kata Shukor.

Situasi semasa menyebabkan barisan kejurulatihan perlu mengimbangi keperluan membuat perancangan awal dengan komitmen pertandingan yang masih perlu dilalui pemain.

Shukor berkata persiapan lebih terperinci hanya boleh dilakukan selepas saingan Piala Belia dan Piala Presiden selesai, manakala pemain berkemungkinan mula dikumpulkan seawal Januari depan.

Pendekatan itu penting bagi memastikan proses persediaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun apabila keseluruhan pemain tersedia untuk mengikuti program pasukan kebangsaan.

Dalam kempen kelayakan sebelum ini, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua dengan lima mata. Skuad kendalian Shukor mencatat keputusan seri ketika berdepan Indonesia dan Australia sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas Laos pada aksi terakhir.

Keputusan berkenaan membolehkan skuad muda negara mengisi salah satu daripada tujuh slot pasukan tempat kedua terbaik kumpulan sekali gus mengesahkan penyertaan di Hangzhou.

Dengan tiket sudah berada dalam genggaman, perhatian Shukor kini tertumpu kepada proses memperbaiki kelemahan, menilai pilihan pemain dan membentuk program persiapan yang mampu menyediakan skuad menghadapi tekanan serta tahap persaingan lebih tinggi pada Piala Asia.