SUKAN

Apa dah jadi dengan Zii Jia

Lee Zii Jia perlu menetapkan semula wawasan dan hala tuju kariernya jika mahu keluar daripada kemelut prestasi yang sedang menghimpit pemain perseorangan profesional negara itu.

Bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock berpandangan Zii Jia masih mempunyai kualiti dan masa untuk kembali ke tahap terbaik. Namun, beliau menegaskan pemain berkenaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu di luar gelanggang sebelum membina semula keyakinan serta fokus yang diperlukan untuk bersaing dengan lebih konsisten.

“Zii Jia seperti orang yang terapung di laut dalam kapal tanpa radar atau nakhoda. Tiada hala tuju yang jelas dan itu satu keadaan yang menyedihkan.

“Bagi kualitinya, keputusan itu kurang baik kerana dia tidak sepatutnya kalah kepada pemain yang tidak dikenali. Saya rasa sekarang ia lebih kepada aspek mental,” katanya.

Pandangan itu hadir selepas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik berkenaan mengalami kekalahan mengejut kepada pemain Taiwan, Wu Zhe Ying yang menghuni ranking ke-88 dunia pada pusingan kedua Terbuka Vietnam, semalam.

Zii Jia tewas 21-8, 13-21, 21-14, sekali gus menyaksikan usahanya untuk kembali mendapatkan rentak terbaik menerima satu lagi cabaran. Keputusan itu turut menambah tekanan selepas dia tersingkir pada pusingan pertama Masters Korea bulan lalu kepada pemain profesional negara, Eogene Ewe.

Bagi Ewe Hock, keadaan semasa lebih memerlukan penyelesaian menyeluruh terhadap perkara yang mengganggu fokus dan keyakinan Zii Jia berbanding membuat kesimpulan terlalu awal mengenai masa depannya. Beliau menegaskan isu persaraan belum wajar dikaitkan dengan bekas juara Seluruh England itu.

Menurutnya, Zii Jia masih mampu memberikan saingan untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi sekiranya berjaya mengatasi kemelut yang sedang dihadapinya. Tempoh itu, pada pandangannya, memberi ruang kepada pemain berkenaan untuk menyusun semula hala tuju serta mendapatkan semula kestabilan yang diperlukan dalam karier.

Ewe Hock turut berpandangan Zii Jia tidak perlu segan mendapatkan pandangan daripada bekas pemain berpengalaman yang mungkin dapat membantu memberinya perspektif baharu.

“Tiada salah untuk dia mendekati beberapa bekas pemain dan mendapatkan nasihat yang mungkin boleh membantu. Saya juga bersedia jika dia perlukan pandangan.

“Tangannya seperti terikat dan mungkin dia memerlukan seseorang untuk membantunya melepaskan diri daripada semua masalah di luar gelanggang,” katanya.

Bagi Zii Jia, tumpuan kini bukan sekadar kepada keputusan di gelanggang, tetapi juga kepada usaha mendapatkan semula arah, keyakinan dan fokus yang menurut Ewe Hock menjadi asas penting untuk mengubah prestasi semasanya.