Pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal terbuka kepada pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sekiranya pemain itu berminat untuk kembali menjalani latihan bersama barisan pemain yang berada di bawah badan induk berkenaan.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan untuk berlatih bersama BAM terletak sepenuhnya kepada Zii Jia. Bagaimanapun, keutamaan badan induk itu ketika ini adalah memperkukuh kelompok pemain sedia ada dan barisan junior sebagai persediaan menghadapi cabaran utama dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut beliau, BAM perlu menilai keperluan pasukan secara menyeluruh dengan mengambil kira Sukan SEA 2027 serta persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). Fokus itu penting bagi memastikan pembangunan pemain dapat digerakkan secara terancang dan konsisten, khususnya dalam sektor perseorangan.
“Saya sudah bercakap dengan Datuk Seri Lee Chong Wei. Beliau kini berada di Amerika Syarikat (AS) dan tidak berada di sini hari ini.
“Tetapi, terpulang kepada Zii Jia. Kami mahu memberi fokus kepada pemain perseorangan yang ada sekarang dan barisan junior sebagai pelapis.
“Buat masa ini, saya fikir agak sukar untuk pemain sedia ada. Kami akan terus memberi fokus kepada mereka, tetapi pada masa sama perlu memberi perhatian kepada pemain junior,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. Hadir sama, Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
Mengulas prestasi semasa perseorangan lelaki kebangsaan yang masih bergelut mencapai tahap diharapkan, Tengku Zafrul berkata, aspek disiplin turut menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian oleh BAM. Menurutnya, isu berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini bagi memastikan pemain, terutama dalam acara perseorangan, terus mematuhi ketetapan yang ditetapkan.
“Dalam perbincangan Ahli Majlis, kami sudah membincangkan mengenai disiplin dan saya fikir itu salah satu perkara utama.
“Kami mahu memastikan pemain khususnya dalam bahagian perseorangan, terus berdisiplin dan mematuhi ketetapan yang dibuat.
“Tetapi sekarang kami perlu memberi tumpuan kepada barisan pelapis, iaitu pemain junior. Kami perlu melihat kepada Sukan SEA nanti dan Sukan Olimpik. Jadi, fokus kami adalah untuk tempoh dua tahun akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kenny mengesahkan Zii Jia yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 pernah hadir ke BAM untuk menjalani latihan sebelum ini. Menurutnya, pemain profesional itu pernah berlatih di BAM dua kali seminggu, termasuk ketika persiapan menghadapi Piala Thomas.
“Memang Zii Jia ada berlatih di sini (BAM) dua kali seminggu termasuk semasa persiapan Piala Thomas sebelum ini.
“Cuba sekarang mungkin dia tiada masa kerana banyak menyertai kejohanan.
“Bukan dia sahaja, pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menjalani latihan di sini,” katanya.
Perkembangan itu menunjukkan BAM masih menyediakan ruang kepada pemain profesional untuk menjalani latihan bersama badan induk berkenaan, namun keutamaan semasa kekal tertumpu kepada pembangunan pemain yang berada dalam sistem serta barisan junior yang disediakan sebagai pelapis.