SUKAN

Komen tanpa berselindung Misbun mengenai Zii Jia

Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek menegaskan kesediaannya untuk membantu Lee Zii Jia bergantung kepada kesediaan pemain itu sendiri menerima pandangan dan mencari jalan keluar daripada kemerosotan prestasi yang sedang dihadapinya.

“Kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum.”

Perumpamaan itu digunakan Misbun ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau membantu Zii Jia, pemain yang pernah dibimbingnya dan kini berdepan fasa sukar dalam karier.

Misbun berkata, Zii Jia mempunyai ciri sebagai pemain menyerang dan pernah membuktikan kemampuan berada di tahap terbaik apabila menjuarai Seluruh England pada 2021. Bagaimanapun, beliau mendakwa ada sesuatu yang menghalang pemain kelahiran Alor Setar itu daripada mengekalkan momentum berkenaan.

“Zii Jia seorang pemain menyerang, tetapi saya lihat dia masih belum mencapai tahap terbaiknya. Dia pernah berada di tahap itu, tetapi sekarang prestasinya sudah menurun dan usia juga mula memberi kesan.

“Kalau nak beri nasihat memang boleh, tetapi dia sendiri nak atau tidak? Itu maksudnya.

“Macam kuda, kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum. Tetapi kalau dia hendak, dia ada cara bagaimana dia nak buat sebab dia pernah sampai ke situ,” katanya ketika ditemui media di Kejohanan Badminton Media Allianz hari ini.

Menurut Misbun, kedudukan Zii Jia tidak seharusnya dilihat seolah-olah pemain itu belum pernah mencapai kejayaan. Rekodnya sebagai juara Seluruh England dan pengalaman berada pada tahap terbaik dunia membuktikan kemampuan tersebut pernah dicapainya.

“Dia pernah jadi juara Seluruh England, dia pernah jadi yang terbaik. Bukan dia tidak pernah.

“Tetapi apa yang menyebabkan dia tidak sampai? Itu jurulatih harus pandang di situ,” katanya.

Misbun menjelaskan, persoalan utama kini ialah mengenal pasti perkara yang menyebabkan pemain berusia 28 tahun itu gagal mengekalkan tahap prestasi yang pernah dicapainya. Dalam keadaan prestasi yang belum kembali stabil, pencarian punca menjadi perkara penting sebelum sebarang nasihat atau pendekatan boleh memberikan kesan.

Ditanya sama ada beliau bersedia membantu jika Zii Jia sendiri datang mendapatkannya, Misbun berkata beliau boleh memberikan pandangan berdasarkan pengalamannya, namun tidak mahu pergi lebih jauh buat masa ini.

“Untuk sekarang ini saya boleh cakap sajalah. Saya boleh cakap sebab saya tengok dia budak baik. Saya tengok dia nak bermain.

“Kalau tidak, dia tidak akan keluar dan bermain sampai sekarang. Dia cuba, walaupun kejohanan kecil pun susah nak ambil.

“Pasal ada benda yang dia terbelenggu di dalam dirinya. Apa benda itu, siapa yang nak korek untuk dia?,” katanya.

Zii Jia masih bergelut untuk kembali ke tahap terbaik, termasuk selepas kekalahan mengejut kepada pemain ranking ke-88 dunia, Wu Zhe Ying pada pusingan pertama Terbuka Vietnam minggu lalu.