KUALA LUMPUR: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menetapkan sasaran jelas buat Harimau Malaya dengan mahu skuad negara mara ke final Piala ASEAN FIFA di Jakarta, Indonesia yang berlangsung dari 25 September hingga 5 Oktober ini.
Ab Ghani berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan keyakinannya terhadap kekuatan pemain yang dipilih untuk membawa cabaran negara, walaupun beliau mengakui keputusan dalam bola sepak sukar dijangka dan tidak boleh dianggap pasti.
“Sudah tentunya sejak dulu lagi, kalau kita masuk kejohanan itu kita hendak yang terbaik untuk standard. Samalah seperti hari ini, esok lusa Piala ASEAN.
“Dan kita hendak negara kita, Harimau Malaya berjaya setidak-tidaknya dapat masuk ke final.
“Tapi kita kena maklum jugalah, jangan kita bergantung harapan terlampau tinggi sebab bola ini biasalah, kalah menang. Apa pun yang kita buat, kita mesti pastikan pasukan kita lakukan yang terbaik.
“Insya-Allah, Alhamdulillah kali ini apa yang dihantar saya nampak di peringkat ASEAN FIFA ini, pemain yang terbaik yang ada di peringkat pasukan kita hari ini.
“Saya yakin dan percaya kita boleh membuat sesuatu permainan dan keputusan baik akan kita perolehi, InsyaAllah,” kata Ab Ghani.
Keyakinan itu hadir seiring pengumuman senarai 23 pemain yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan sulung yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dengan pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membariskan skuad terkuat.
Cheng Hoe memilih barisan yang dilihat lebih berpengalaman dan kompetitif, termasuk beberapa tonggak utama negara yang kembali memperkuatkan pasukan. Antara nama utama ialah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi serta penyerang Selangor, Faisal Halim.
Turut mendapat perhatian ialah pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka, Dion Cools. Tiga muka baharu yang kini tersedia untuk mewakili Malaysia turut disenaraikan, iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp.
Bergson dan Hidalgo masing-masing mengisi posisi serangan serta tengah, manakala Brad Tapp dipilih untuk bahagian pertahanan. Kehadiran mereka menambah pilihan Cheng Hoe ketika skuad negara bersiap menghadapi saingan yang menuntut konsistensi, ketahanan fizikal dan disiplin permainan sepanjang kempen kumpulan.
Malaysia hanya mengekalkan lima pemain daripada skuad Piala ASEAN Julai lalu, sekali gus menunjukkan perubahan besar dalam pembentukan pasukan bagi kejohanan kali ini.
Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh. Hanya juara kumpulan akan mara ke final yang dijadualkan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Oktober.
Malaysia membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan Indonesia tiga hari kemudian. Aksi terakhir kumpulan menentang Singapura dijadualkan pada 1 Oktober, menjadikan setiap perlawanan penting dalam usaha mencapai sasaran ke final.