Skuad kebangsaan mempunyai asas serangan yang meyakinkan menjelang Piala ASEAN FIFA apabila tiga pemain yang menjadi bayangan utama jentera ofensif Harimau Malaya tampil cemerlang dalam saingan Liga Super dengan rekod keseluruhan 19 sumbangan gol.
Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim mengumpul sembilan jaringan serta 10 bantuan gol setakat ini, sekali gus memperlihatkan tahap konsistensi yang boleh memberi nilai besar kepada perancangan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menjelang kejohanan yang bermula 24 September.
Dua tonggak Johor Darul Tazim, Bergson dan Arif Aiman, menjadi antara pemain paling menonjol menerusi peranan berbeza tetapi saling melengkapi. Bergson terus mengesahkan reputasinya sebagai ‘mesin gol’ paling digeruni di dalam kotak penalti apabila meledak enam gol dan menyumbang dua bantuan gol buat Harimau Selatan.
Penggempur import itu menjadi sumber ketajaman utama dalam penyudah, manakala Arif Aiman pula bertindak sebagai nadi penciptaan peluang dengan catatan lapan bantuan gol selain satu jaringan peribadi. Sumbangan itu memperlihatkan keupayaan Arif Aiman mempengaruhi permainan bukan sahaja melalui penyudah, malah menerusi kreativiti dan hantaran akhir untuk membuka ruang kepada rakan sepasukan.
Faisal Halim melengkapkan gambaran positif jentera serangan berkenaan apabila terus memberi impak kepada Selangor FC. Pemain sayap lincah itu merekodkan dua gol penting buat Gergasi Merah, sekali gus mengekalkan momentum kompetitif sebelum kembali memikul tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
Prestasi semasa ketiga-tiga pemain memberi Harimau Malaya pilihan serangan yang lebih meyakinkan, terutama dalam aspek ketajaman, kreativiti dan kemampuan mengekalkan tekanan terhadap lawan. Konsistensi yang ditunjukkan di peringkat domestik juga menjadi elemen penting untuk dimanfaatkan apabila tahap tekanan dan keperluan taktikal meningkat di pentas antarabangsa.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe diundi dalam Kumpulan A Divisyen yang dibarisi tuan rumah Indonesia, Singapura, Bangladesh dan Malaysia. Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia yang kini berada di ranking ke-136 dunia akan membuka kempen menentang Bangladesh, pasukan ranking ke-181 dunia, di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September. Selepas itu, Harimau Malaya akan berdepan Indonesia yang berada di ranking ke-118 dunia di venue sama pada 28 September.
Bagi aksi terakhir Kumpulan A, Malaysia dijadualkan menentang Singapura, pasukan ranking ke-148 dunia, di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober 2026.
Juara Kumpulan A dan juara Kumpulan B akan berentap dalam aksi final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober 2026. Naib juara kedua-dua kumpulan pula akan bertemu bagi penentuan tempat ketiga di venue dan pada hari yang sama, namun perlawanan itu berlangsung pada sebelah petang.