Malaysia tidak mahu menjadikan status Indonesia sebagai pasukan pilihan pertama sebagai tekanan tambahan apabila kedua-dua negara bertemu pada suku akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, esok.
Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, mahu pemain negara memusatkan perhatian kepada semangat berpasukan, keberanian dan pelaksanaan di gelanggang ketika berdepan lawan yang dianggap antara calon utama muncul juara.
“Kalau mahu mati, mati dalam gelanggang.”
Mesej itu menjadi penegasan Rexy bahawa pemain perlu turun dengan mentaliti tidak mudah mengalah serta bersedia memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan.
“Ini bukan sesuatu yang kita boleh cakap ada formula atau bagaimana.
“Sekarang tinggal kepada semangat berpasukan dan pemain mesti masuk ke gelanggang dengan berfikir, ‘I will die on court’,” katanya selepas Malaysia menewaskan Mongolia 3-0 dalam pusingan 16 terbaik di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.
Kemenangan ke atas Mongolia turut memberi ruang penting kepada skuad negara untuk membuat penyesuaian awal sebelum bertemu Indonesia. Rexy menjelaskan bahawa keputusan menurunkan barisan terkuat bukan hanya bertujuan memburu kemenangan, tetapi juga bagi memastikan pemain memahami keadaan sebenar gelanggang.
“Untuk acara temasya sukan seperti ini, siapa pun lawan yang kita hadapi, kita tetap akan turunkan pasukan terbaik.
“Kita mahu pemain dapat rasa keadaan gelanggang, bagaimana keadaan angin dan simulasi situasi perlawanan. Kita juga mahu lihat sama ada apa yang sudah dibuat jurulatih boleh dilaksanakan dalam gelanggang,” katanya.
Menurut Rexy, pengalaman itu memberi sedikit kelebihan dari sudut penyesuaian kerana Malaysia sudah melalui satu perlawanan di venue berkenaan, sedangkan Indonesia mendapat bye pada pusingan 16 terbaik.
“Kita sudah cuba keadaan gelanggang ini dan harap pemain boleh ambil kesempatan daripada kelebihan yang kita dapat hari ini,” katanya.
Cabaran sebenar kini menanti Malaysia. Berbanding Mongolia, Indonesia dijangka menuntut tahap permainan, ketahanan mental dan disiplin taktikal yang lebih tinggi daripada setiap pemain negara.
Sektor beregu dijangka menjadi antara sandaran Malaysia menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Aaron Chia-Tee Kai Wun. Pada masa sama, barisan perseorangan perlu mencuri sekurang-kurangnya satu mata sama ada menerusi Leong Jun Hao, Justin Hoh atau Eogene Ewe atau Kong Wei Xiang bagi membantu Malaysia mencipta kejutan.
Rexy bagaimanapun tidak mahu tumpuan hanya diberikan kepada kekuatan satu sektor. Pendekatan yang ditekankannya adalah jelas, iaitu setiap perlawanan perlu dilayan dengan tahap kepentingan yang sama.
“Kita datang ke sini untuk bermain lima perlawanan. Fokus kita adalah semua lima perlawanan,” katanya.
Kemenangan ke atas Indonesia akan memastikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa acara berpasukan lelaki.
Malaysia kali terakhir menaiki podium dalam acara berpasukan Sukan Asia pada edisi Incheon 2014 apabila skuad diketuai Datuk Seri Lee Chong Wei membawa pulang pingat gangsa.
Sejak acara berpasukan lelaki diperkenalkan pada Sukan Asia 1962, Malaysia belum pernah meraih pingat emas. Prestasi terbaik negara kekal dua pingat perak yang dicatat pada edisi Bangkok 1966 dan Beijing 1990.