Cabaran skuad badminton berpasukan lelaki negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berakhir di suku akhir selepas tewas tipis 2-3 kepada Indonesia dalam aksi sengit di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Nasib Malaysia ditentukan pada perlawanan kelima selepas kedudukan terikat 2-2, namun Eogene Ewe gagal menyempurnakan kebangkitan pasukan apabila kalah straight set 11-21, 11-21 kepada Moh Zaki Ubaidillah.
Malaysia terlebih dahulu membuka tirai dengan keputusan positif menerusi Leong Jun Hao yang menewaskan Jonatan Christie dalam pertarungan tiga set 20-22, 21-12, 21-17.
Indonesia kemudian menyamakan kedudukan apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tewas kepada Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 21-19, 10-21.
Justin Hoh turun dalam perseorangan kedua tetapi gagal menghalang Alwi Farhan yang mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-19 untuk meletakkan Indonesia di depan 2-1.
Malaysia bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan menerusi Aaron Chia-Tee Kai Wun. Gandingan itu bangkit selepas kehilangan set pertama untuk menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13.
Keputusan tersebut membawa pertemuan ke aksi kelima, namun Moh Zaki memastikan Indonesia mara ke separuh akhir selepas mengatasi Eogene dalam dua set.
Kekalahan 2-3 itu sekali gus menamatkan peluang Malaysia memburu pingat menerusi acara berpasukan lelaki.
Keputusan penuh Malaysia 2-3 Indonesia: Leong Jun Hao menewaskan Jonatan Christie 20-22, 21-12, 21-17; Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tewas kepada Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 21-19, 10-21; Justin Hoh tewas kepada Alwi Farhan 19-21, 19-21; Aaron Chia-Tee Kai Wun menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13; Eogene Ewe tewas kepada Moh Zaki Ubaidillah 11-21, 11-21.