Kekalahan tipis 2-3 skuad lelaki negara kepada musuh tradisi Indonesia pada suku akhir, semalam, mencetuskan reaksi keras dalam kalangan peminat selepas pemain perseorangan ketiga, Eogene Ewe, gagal memanfaatkan peluang dalam aksi penentuan.
Eogene, 21, yang melakukan penampilan sulung dalam saingan itu diletakkan harapan tinggi untuk membantu Malaysia memburu mata terakhir. Namun, selepas mendahului 4-0 pada awal set pertama, pemain nombor 81 dunia berkenaan mula hilang rentak sebelum tunduk 21-11, 21-11 kepada pemain nombor 28 dunia Indonesia, Zaki Ubaidillah.
Kekalahan itu sekali gus memastikan Indonesia mara ke separuh akhir, manakala prestasi Eogene menjadi perhatian netizen yang mempersoalkan perkembangan permainannya.
“Eogene pernah menjadi antara sandaran Misbun (Sidek) tetapi selepas bertahun-tahun, tiada sebarang peningkatan yang kelihatan,” luah seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi peminat berpendapat jurang prestasi antara Eogene dan Zaki begitu ketara walaupun pemain Indonesia itu baru berusia 19 tahun. Zaki turut hadir dengan keyakinan selepas menjuarai Masters Thailand Super 300 tahun ini.
“Tahap pemain perseorangan lelaki Indonesia jauh di hadapan Malaysia. Eogene kelihatan seperti pemain MSSM (Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia) apabila menentang mereka. Dia sudah berusia 21 tahun. Zaki baru 19 tahun tetapi beraksi jauh lebih baik daripadanya,” kata peminat itu di media sosial.
Aspek kekuatan mental turut menjadi tumpuan susulan kegagalan Eogene mengawal tekanan dalam perlawanan yang menentukan nasib pasukan.
“Eogene beraksi bawah tekanan untuk menang. Apabila dia terlalu mencuba terlalu keras, dia melakukan lebih banyak kesilapan dan mentalnya tidak sekuat pemain muda Indonesia itu. Ini soal kekuatan mental apabila membabitkan kejohanan berpasukan,” jelas peminat berkenaan.
Kritikan turut menyentuh tahap keseluruhan perseorangan negara.
“Dia tewas di Sukan Malaysia (SUKMA). Pemain perseorangan kita berada pada tahap yang sama dengan negara seperti Vietnam, Amerika Syarikat dan Kanada,” kata netizen terbabit.
Pada masa sama, timbul desakan supaya Kong Wei Xiang diberi peluang. Pemain berusia 18 tahun itu berada dalam senarai simpanan dan pernah mengheret pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Anthony Ginting, ke set penentuan ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia pada peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia awal tahun ini.
“Adalah lebih baik jika beri peluang kepada Kong Wei Xiang. Dia berada dalam senarai simpanan dan ketika Kejohanan Berpasukan Asia baru-baru ini, dia berjaya mengheret (Anthony) Ginting ke set ketiga,” tambah peminat itu lagi.
Kekalahan Eogene turut menenggelamkan peningkatan yang ditunjukkan dua perseorangan lain. Leong Jun Hao, pemain nombor 33 dunia, mengejutkan pemain nombor satu dunia Jonatan Christie, manakala Justin Hoh memberikan tentangan sengit sebelum tewas straight-set kepada pemain nombor 10 dunia, Alwi Farhan.
“Pada usia 21 tahun, dia (Eogene) sepatutnya berada di kemuncak persembahan. Pemain senior yang kita ada pula sudah menghampiri penghujung kerjaya, dan persembahan mereka juga tidak konsisten.
“Kadang-kadang sangat cemerlang dan kadang-kadang terus hilang punca,” kata seorang lagi netizen yang merujuk kepada kesukaran yang dihadapi skuad badminton negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.