SUKAN

Malang menimpa pemain No 1 Dunia selepas di tewaskan Jun Hao

Kekalahan Jonatan Christie kepada Leong Jun Hao dalam aksi pertama suku akhir acara berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 memberi kesan besar kepada kedudukan ranking pemain Indonesia itu apabila dia dijangka mengalami kejatuhan bermula 29 September ini.

Christie yang turun menentang wakil negara itu terpaksa akur selepas pertarungan tiga set dengan keputusan 22-20, 12-21, 17-21. Kekalahan tersebut hadir ketika pemain Indonesia berkenaan sedang melalui tempoh mencabar selepas sebelum ini mengungguli carta ranking dunia pada bulan lalu, tetapi gagal mempertahankan kedudukan berkenaan untuk tempoh yang panjang.

Prestasinya turut menerima satu lagi tamparan apabila tersingkir pada pusingan 16 Kejohanan Badminton Masters China bulan lalu. Setakat ini, Christie juga masih belum mencipta sebarang kemenangan, sekali gus meletakkan kedudukannya dalam keadaan sukar ketika perubahan ranking baharu dijangka berlaku.

Situasi itu membuka ruang kepada jaguh nombor satu Thailand, Kunlavut Vitidsarn, yang berkemungkinan kembali menghiasi ranking tertinggi dunia BWF menjelang bulan hadapan. Perubahan tersebut menjadi antara perkembangan penting susulan keputusan Christie di Aichi-Nagoya.

Dalam aksi berpasukan itu, kemenangan Jun Hao memberikan Malaysia permulaan positif sebelum Indonesia kembali menghidupkan peluang menerusi Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri. Pasangan Indonesia itu menumbangkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan keputusan 19-21, 10-21 untuk mengembalikan tekanan kepada pasukan negara.

Tumpuan kemudian beralih kepada perseorangan kedua negara, Justin Hoh, yang berdepan Farhan Alwi. Walaupun terdapat jurang ranking sekali ganda, Justin mempamerkan tentangan sengit dan hampir membuahkan hasil sebelum tewas straight set 19-21, 19-21. Keputusan itu membolehkan Indonesia mendahului 2-1.

Malaysia bagaimanapun belum mengalah. Aaron Chia yang digandingkan bersama Tee Kai Wun sebagai beregu bidan terjun negara berjaya bangkit selepas kehilangan set pertama untuk mengatasi Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13. Kemenangan itu menyamakan kedudukan dan membawa pertemuan ke perlawanan kelima sebagai penentuan.

Tanggungjawab terakhir kemudian dipikul perseorangan ketiga negara, Eogene Ewe. Namun, Eogene bergelut untuk mengimbangi permainan Zaki Ubadillah sebelum tewas straight set 11-21, 11-21.

Keputusan itu menamatkan perjalanan Malaysia dalam pertemuan suku akhir tersebut, manakala kekalahan Christie kepada Jun Hao kekal menjadi antara keputusan paling signifikan kerana kesannya terhadap kedudukan ranking pemain Indonesia berkenaan menjelang kemas kini bermula 29 September.