SUKAN

Saya tidak kisah — Aaron Chia

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui tidak berdepan masalah untuk bergandingan bersama Tee Kai Wun selepas kombinasi mereka menyumbang satu mata buat Malaysia dalam aksi suku akhir berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Pada perlawanan di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, Aaron dan Kai Wun bangkit selepas kehilangan set pertama untuk menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnado-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13.

Kemenangan itu membuktikan kemampuan mereka menyesuaikan permainan selepas berdepan kesukaran pada peringkat awal. Bagaimanapun, satu mata yang disumbangkan pasangan berkenaan belum mencukupi untuk membawa Malaysia ke separuh akhir apabila skuad negara akhirnya tewas 3-2 kepada Indonesia.

Ia adalah kali kedua Aaron dan Kai Wun digandingkan sebagai gandingan pecahan selepas Piala Thomas 2026 pada April lalu. Ketika kejohanan berkenaan, mereka turut mencatat kemenangan ke atas pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dalam aksi peringkat kumpulan.

Aaron berkata, kedudukan mereka sebagai gandingan pecahan membolehkan kedua-duanya memasuki gelanggang dengan tekanan lebih rendah berbanding lawan yang merupakan pasangan sebenar.

“Saya rasa permainan hari ini (semalam), kami tidak ada tekanan sangat kerana mereka adalah pasangan sebenar, manakala kami pula gandingan pecahan. Jadi kami boleh bermain lebih tenang.

“Mungkin sebab itu corak permainan kami lebih menjadi hari ini,” kata Aaron.

Mengulas mengenai keserasian bersama Kai Wun, pemain berusia 29 tahun itu menegaskan bahawa identiti pasangan bukan perkara utama buatnya kerana tumpuannya adalah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin setiap kali berada di gelanggang.

“Bagi saya, saya sentiasa bersedia. Siapa pun pasangan saya, saya tidak kisah. Yang penting apabila berada di gelanggang, saya perlu tunjukkan apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Kai Wun pula mengakui mereka memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan rentak pada set pertama, khususnya dari segi pergerakan dan kawalan permainan, sebelum keadaan bertambah baik apabila memasuki set kedua.

“Pada permulaan permainan mungkin agak susah untuk bergerak dan ada sedikit masalah kawalan. Tetapi selepas bermula set kedua, saya rasa sudah lebih selesa.

“Kami mula bermain seperti biasa dan tidak melakukan banyak kesilapan,” kata Kai Wun.

Keupayaan mereka mengurangkan kesilapan serta mendapatkan keselesaan dalam permainan menjadi antara faktor yang membantu pasangan itu memulihkan kedudukan selepas tewas set pertama sebelum menguasai dua set berikutnya.

Selepas kempen acara berpasukan berakhir di suku akhir, perhatian Aaron kini beralih kepada saingan individu dengan sasaran untuk cuba menghadiahkan pingat buat Malaysia.

“Kami harap sekurang-kurangnya boleh dapat pingat untuk Malaysia. Tetapi berdasarkan undian, kami tidak mempunyai kelebihan kerana tidak diletakkan sebagai pilihan.

“Kami akan cuba buat yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” katanya.