SUKAN

TERKINI : Puripol Boonson buat lagi

Jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson sekali lagi membuktikan keupayaannya berlari di bawah 10 saat apabila mencatat 9.95 saat dalam acara 100 meter lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Puripol mengungguli Saringan 1 di Stadium Olahraga Mizuho sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan catatan terpantas keseluruhan pusingan saringan.

Pelari berusia 20 tahun itu meninggalkan wakil China, Zeng Keli, yang menduduki tempat kedua dengan 10.22s, manakala pelari India, Animesh Kujur, ketiga menerusi catatan 10.36s.

Lebih menarik, 9.95s yang dilakukan Puripol hanya 0.01s di belakang rekod peribadi dan rekod kebangsaan Thailand miliknya, 9.94s, yang dicatat pada Sukan SEA di Bangkok, Disember tahun lalu.

Puripol sudah beberapa kali membuktikan kemampuannya melepasi benteng 10 saat. Selain 9.94s pada 2025, dia turut merekodkan 9.99s di Litomyšl, Republik Czech pada 1 Ogos lalu.

Sementara itu, pelari Malaysia Muhammad Umaira Subri menamatkan Saringan 1 di tempat keempat dengan catatan 10.43s, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya.

Namun, catatan itu tidak mencukupi untuk membawanya ke separuh akhir.

Malaysia bagaimanapun masih mempunyai Muhammad Azeem Fahmi dalam perebutan acara 100m selepas pelari berusia 22 tahun itu memenangi Saringan 5 dengan catatan 10.17s untuk mara ke separuh akhir.

Puripol hadir ke Aichi-Nagoya dengan status pemenang pingat perak Sukan Asia Hangzhou 2023, manakala Azeem meraih gangsa dalam edisi sama.