Kekalahan 0-2 Thailand kepada Malaysia dalam final acara regu berpasukan sepak takraw lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerima reaksi yang agak terbuka daripada sebahagian penyokong negara itu, yang mengakui skuad Malaysia kini berada pada tahap lebih baik.
Tinjauan di media sosial menunjukkan beberapa penyokong Thailand melihat kejayaan Malaysia bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Mereka mengaitkannya dengan sistem pembangunan yang lebih tersusun, penganjuran pertandingan secara berterusan serta penggunaan teknologi untuk menganalisis permainan dan memperkemas prestasi pemain.
Noppon Phunwong antara yang melihat perkembangan Malaysia semakin ketara menerusi penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) dan pertandingan secara konsisten. Pada pandangannya, keupayaan Malaysia mendapatkan pemain Thailand untuk menyertai pasukan tempatan turut memberi kesan kepada proses peningkatan mutu permainan.
“Malaysia berkembang sepanjang masa dengan menganjurkan liga dan pertandingan secara berterusan untuk meningkatkan kekuatan.
“Mereka juga mengambil pemain sepak takraw dari negara kita untuk menyertai pasukan mereka, seolah-olah kita mendapat latihan tambahan secara tidak langsung.
“Pemain sepak takraw lelaki kita sebenarnya hampir seimbang dengan mereka dalam setiap kelompok umur.
“Namun, sistem pembangunan sepak takraw kita masih belum bergerak ke mana-mana. Tiada pertandingan dalaman yang dianjurkan. Kalau keadaan ini berterusan, kita mungkin akan ketinggalan dengan mereka untuk tempoh yang lama,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Patee Ketshanakorn, pula memberi perhatian kepada aspek teknologi dan ketepatan permainan Malaysia. Menurutnya, penggunaan program komputer untuk menganalisis aksi membantu skuad negara mengurangkan kesilapan, di samping meningkatkan ketepatan tekong, pengumpan dan perejam.
“Mereka menggunakan program komputer untuk menganalisis permainan dan kesilapan mereka sangat sedikit. Ketepatan pemain tekong, pengumpan dan perejam juga tinggi serta mereka bermain dengan penuh keyakinan.
“Hanya melihat dengan mata kasar tidak mencukupi. Bagaimana pula dengan peranan ahli psikologi pasukan, adakah ia boleh membantu?” katanya.
Winai pula membandingkan struktur pertandingan kedua-dua negara dan melihat Malaysia mempunyai asas liga yang lebih kukuh untuk membina tahap kompetitif pemain.
“Thailand masih bermain di kejohanan-kejohanan kecil yang dianjurkan di merata tempat, termasuk di acara atau pesta kuil, manakala Malaysia mempunyai liga sepak takraw yang kuat dan terus berkembang,” katanya.
Dalam aspek teknikal, Netitam Cm menilai pertahanan Malaysia semakin sukar ditembusi sejak kebelakangan ini, khususnya ketika berdepan serangan rejaman Thailand.
“Dalam tempoh satu hingga dua tahun ini, saya perhatikan Malaysia sudah banyak kali berjaya menangani serangan rejaman dengan melakukan hadangan. Namun, apabila mereka melakukan serangan balas dari belakang, kita hampir tidak mampu menyekat serangan mereka.
“Jika kita menyesuaikan teknik rejaman dengan mengubah kekuatan serangan atau mengubah arah rejaman supaya mengelak dan menyilang ke sisi, mungkin ia dapat membantu sedikit,” katanya.
Py Py turut mengakui kekuatan pertahanan Malaysia dan menyifatkan kemenangan skuad negara sebagai sesuatu yang layak berdasarkan prestasi yang dipamerkan. Reaksi penyokong Thailand itu secara keseluruhan memperlihatkan perhatian mereka bukan sekadar kepada keputusan 0-2, tetapi juga kepada perbezaan sistem pembangunan, kualiti pertandingan, penggunaan teknologi serta keberkesanan permainan Malaysia di gelanggang.