Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mencatat kemenangan mendebarkan 5-4 ke atas Pakistan dalam aksi Kumpulan B di Stadium Green Wilayah Gifu, hari ini.
Malaysia yang dibimbing Brendon Carolan terpaksa bekerja keras apabila dikejutkan dengan jaringan awal Pakistan menerusi Sufyan Khan seawal minit ketiga.
Namun, Speedy Tigers hanya memerlukan dua minit untuk memberikan tindak balas apabila Shello Silverius menyamakan kedudukan pada minit kelima, sekali gus memastikan Malaysia kembali berada dalam persaingan.
Selepas kedudukan kembali seimbang, Malaysia terus meningkatkan tekanan dan berjaya berada di hadapan buat kali pertama pada minit ke-23. Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk memberikan kelebihan 2-1 kepada Speedy Tigers sehingga tamat separuh masa pertama.
Pakistan bagaimanapun kembali memberikan tekanan hebat pada suku ketiga. Sufyan sekali lagi menjadi ancaman utama apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-39 dan 43 untuk mengubah kedudukan perlawanan.
Faizal kemudian mencetak gol keduanya menerusi situasi sama pada minit ke-45, tetapi Sufyan melengkapkan satu lagi jaringan pada minit ke-46 untuk meletakkan Pakistan mendahului 4-3.
Ketinggalan satu gol tidak menjejaskan semangat pemain negara. Speedy Tigers meningkatkan tekanan pada suku terakhir ketika masa semakin suntuk untuk mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Shello kembali menemui sasaran pada minit ke-56 untuk menjadikan kedudukan 4-4.
Momentum kemudian berpihak kepada Malaysia apabila hanya seminit selepas jaringan penyamaan, Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira dengan menghasilkan gol kelima negara pada minit ke-57.
Jaringan itu melengkapkan kebangkitan Speedy Tigers untuk memastikan kemenangan 5-4 dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar kelebihan.
Kemenangan tersebut turut memastikan Malaysia meneruskan rekod sempurna dalam Kumpulan B. Sebelum berdepan Pakistan, Speedy Tigers menewaskan Uzbekistan dan Oman masing-masing 7-0 selain mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas Thailand.
Rentetan empat kemenangan itu memastikan anak buah Carolan mengesahkan tempat ke separuh akhir sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan.
Malaysia masih mempunyai satu lagi aksi apabila dijadual berdepan China, Isnin ini.
Pertemuan tersebut menjadi medan penting buat Speedy Tigers untuk meneruskan momentum selepas kemenangan dramatik ke atas Pakistan sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada cabaran di peringkat kalah mati Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.