KUALA LUMPUR – Jaringan sulung Bergson da Silva pada penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya memberi petanda positif terhadap kemampuan jentera serangan negara, namun aksi menentang Indonesia Isnin ini bakal menjadi ukuran lebih besar terhadap kekuatan sebenar skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Pemerhati bola sepak negara, Sulaiman Hussin berkata, Bergson menunjukkan ciri penyerang nombor sembilan yang diperlukan Malaysia ketika membantu skuad negara menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.
Bergson yang baru mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia menjaringkan gol ketiga skuad negara, manakala Arif Aiman Hanapi meledak dua gol bagi memastikan Harimau Malaya membuka kempen dengan tiga mata.
Sulaiman turut melihat kombinasi Bergson bersama Manuel Hidalgo, Arif Aiman dan Faisal Halim menunjukkan persefahaman yang baik di bahagian serangan.
“Untuk barisan hadapan, Bergson bersama Arif Aiman dan Hidalgo mungkin dah selalu main bersama di JDT (Johor Darul Ta’zim) tetapi tidak Faisal. Walaupun tidak bermain dalam satu pasukan (dengan Faisal), tetapi mereka sudah mengenali permainan masing-masing dan ini memudahkan persefahaman mereka di bahagian hadapan.
“Nampak kita agak bahaya di hadapan. Cuma Bergson pada saya masih ada benda-benda lagi bagus yang boleh dipamerkan oleh dia kerana semalam mungkin perlawanan pertama, debut dia di pentas antarabangsa disamping Hidalgo, mungkin mengambil masa sedikit untuk mempamerkan ketajaman.
“Tetapi kita boleh tengok gol yang dijaringkan Bergson. Itulah Bergson. Kita sudah lama mencari pemain nombor sembilan yang berada dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol,” katanya.
Menurut Sulaiman, kemenangan ke atas Bangladesh turut memperlihatkan Malaysia mampu menguasai permainan lebih awal, namun beliau belum dapat membuat penilaian menyeluruh terhadap tahap sebenar skuad negara.
“Perlawanan semalam kita nampaknya berjaya ‘settle down’ awal dan kita mendahului daripada awal lagi sebelum pasukan Bangladesh sempat bertenang. Kita dapat menggunakan peluang. Kita ada banyak peluang dan apabila menjadikan gol pertama, kita sudah mula yakin.
“Barisan pertahanan juga nampak agak stabil, di tengah kita menguasai dan kita ada barisan hadapan yang baik. Tetapi saya tidak dapat merumus sejauh mana itu adalah kekuatan sebenar kita kerana Bangladesh juga tidak memberikan tentangan yang begitu hebat.
“Mereka nampak agak ‘struggle’ untuk masuk ke dalam permainan dan kita menguasai hampir sebahagian besar perlawanan,” katanya.
Sulaiman menyifatkan kehadiran empat pemain tajam di bahagian serangan sebagai satu kelebihan menjelang aksi berikutnya.
“Ini satu bonus dengan kehadiran empat pemain di bahagian hadapan yang cukup tajam,” katanya.
Bagaimanapun, Indonesia dijangka memberikan cabaran lebih sengit selepas skuad tuan rumah turut membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura.
“Peluang menentang Indonesia itu adalah satu ujian besar kerana kita melihat Indonesia apabila bermain dalam perlawanan pertama menentang Singapura, mereka menang 2-0. Kita pasti akan dapat satu perlawanan yang hebat dan benar-benar akan mencabar kita dalam perlawanan kedua,” katanya.
Sulaiman percaya Malaysia mampu memberi tekanan kepada Indonesia sekiranya berjaya meningkatkan lagi prestasi yang dipamerkan ketika menewaskan Bangladesh.
“Saya percaya jika kita dapat tingkatkan apa yang kita pamerkan dalam perlawanan menentang Bangladesh, kita boleh merisaukan pasukan tuan rumah. Kita boleh saksikan satu perlawanan yang benar-benar hebat kerana kedua-dua pasukan juga mempunyai ramai pemain naturalisasi.
“Pastinya satu perlawanan yang hebat bakal kita saksikan dan saya berharap pasukan Malaysia boleh menang perlawanan kedua ini untuk meletakkan mereka di tempat yang selesa bagi perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.