SUKAN

Izzuddin dedah punca pulang tanpa pingat di Sukan Asia

Malaysia masih belum dapat menamatkan penantian panjang untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki Sukan Asia selepas dua wakil negara gagal melepasi peringkat suku akhir di Aichi-Nagoya 2026.

Pingat emas terakhir Malaysia dalam acara itu hadir menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi Doha 2006 di Qatar, dan kemarau tersebut berterusan selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Aaron Chia-Tee Kai Wun tersingkir pada edisi kali ini.

Sze Fei-Izzuddin menjadi harapan terakhir negara selepas mara ke suku akhir, tetapi pasangan nombor enam dunia itu gagal menyaingi pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.

Dalam perlawanan di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, pasangan profesional negara itu tewas 13-21, 11-21, sekali gus menamatkan peluang Malaysia untuk mempunyai wakil dalam separuh akhir.

Sehari sebelumnya, Aaron-Kai Wun sudah tersingkir pada pusingan kedua selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Kegagalan kedua-dua pasangan itu turut menyebabkan Malaysia tidak dapat mengulangi pencapaian Hangzhou 2022 apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa.

Walaupun kecewa gagal membawa pulang pingat, Izzuddin tidak mahu keputusan di Aichi-Nagoya menjadi penamat kepada usaha mereka memburu kejayaan lebih besar.

“Kecewa itu memang ada, tetapi kami anggap ini satu cabaran untuk kami memperbaiki diri dan masih banyak lagi gelaran yang kami belum dapat,” kata Izzuddin ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas aksi suku akhir, Sze Fei melihat keraguan dalam permainan serta kecenderungan mereka berada dalam posisi bertahan sebagai antara perkara yang perlu diperbaiki.

“Saya rasa dalam perlawanan hari ini kami bermain dengan sedikit ragu-ragu. Pada set kedua, kami banyak berada dalam posisi bertahan dan itu antara perkara yang perlu kami perbaiki,” katanya.

Kegagalan di Sukan Asia hadir ketika Sze Fei-Izzuddin sebenarnya menikmati musim yang memberangsangkan.

Mereka sudah menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia selain bergelar naib juara Masters Malaysia, namun pasangan itu sedar prestasi tersebut masih perlu dipertingkatkan bagi menghadapi gandingan terbaik dunia.

Cabaran seterusnya menanti di Eropah apabila mereka dijadualkan menyertai Terbuka Denmark dari 13 hingga 18 Oktober, disusuli Terbuka Perancis dari 20 hingga 25 Oktober.

“Kami akan fokus kepada kejohanan yang terdekat dahulu, iaitu Denmark dan Perancis,” kata Izzuddin.

Dalam masa sama, Izzuddin menganggap pengalaman sepanjang Sukan Asia kali ini tetap mempunyai nilai penting buat mereka, khususnya selepas bersama pasukan negara dalam acara berpasukan dan bekerja dengan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Memang banyak kami belajar daripada semangat kesukanan pasukan dalam acara berpasukan dan juga daripada jurulatih-jurulatih lain di sini,” katanya.

Kempen Aichi-Nagoya mungkin berakhir tanpa pingat buat beregu lelaki negara, namun Sze Fei-Izzuddin kini mengalihkan perhatian kepada usaha memperbaiki kelemahan sebelum kembali bersaing dalam dua kejohanan Jelajah Dunia di Eropah.