SUKAN

Sorakan penyokong Indonesia makin bakar semangat Harimau Malaya

Pemain sayap kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim, mahu Harimau Malaya menggunakan suasana panas di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) sebagai sumber motivasi apabila turun menentang Indonesia dalam aksi kedua Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, esok.

Menurut pemain Selangor FC itu, tekanan serta sorakan penyokong fanatik Indonesia tidak seharusnya mengganggu fokus pemain negara, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada semangat tambahan untuk menghasilkan persembahan terbaik di atas padang.

Faisal menegaskan perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah tahap persediaan fizikal dan mental pemain sebelum berdepan skuad Garuda.

“Kita tak perlu risau ataupun khuatir dengan provokasi oleh penyokong Indonesia. Apa yang saya harap, semua rakan-rakan saya bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.

“Di dalam padang kita hanya bermain 11 lawan 11. Penyokong hanya boleh memberi semangat dan sorakan. Kita anggap penyokong Indonesia itu sebagai penyokong kita sendiri juga untuk memberi semangat kepada pasukan,” katanya kepada media pada sesi latihan pasukan di sini, sebentar tadi.

Faisal berkata pemain perlu mengekalkan tumpuan sepenuhnya terhadap perkara yang berlaku di atas padang dan tidak terlalu memikirkan faktor luar yang boleh menjejaskan fokus.

Dia mengakui Indonesia bukan lawan mudah, lebih-lebih lagi selepas skuad Garuda mempamerkan permainan teratur ketika menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi pembukaan.

Bagaimanapun, Faisal percaya Malaysia turut mempunyai kekuatan dan kualiti tersendiri untuk memberikan saingan kepada tuan rumah.

Katanya, persiapan rapi serta kerja keras sepanjang perlawanan akan menjadi antara perkara penting sekiranya Harimau Malaya mahu mendapatkan keputusan positif daripada kunjungan ke GBK.

Pandangan sama turut dikongsi jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe, yang mahu pemain menyambut kemeriahan stadium dengan sikap positif.

Beliau melihat kehadiran penyokong dalam jumlah besar sebagai satu bentuk motivasi tambahan, bukannya tekanan yang perlu ditakuti.

“Saya rasa suasana tersebut memberi kita lebih bersemangat dan lebih bermotivasi kerana lebih baik bermain di hadapan 100,000 penyokong berbanding 1,000 orang,” katanya.

Cheng Hoe bagaimanapun mengingatkan pemain supaya mengawal emosi sepanjang perlawanan kerana sebarang provokasi berpotensi mengganggu konsentrasi.

Pertemuan esok menemukan dua pasukan yang masing-masing sudah mengumpul tiga mata.

Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada Jumaat lalu, manakala Indonesia turut bermula positif selepas menewaskan Singapura 2-0.

Selepas aksi menentang Indonesia, Harimau Malaya akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan berdepan Singapura di Stadium Si Jalak Harupat pada Khamis ini.