SUKAN

Arif Aiman jadi buah mulut Indonesia

Kelincahan Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi antara ancaman utama Harimau Malaya apabila pemain sayap negara itu beberapa kali mengucar-kacirkan pertahanan Indonesia dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun itu bukan sahaja menggunakan kepantasan sebagai senjata, malah berani mencabar pertahanan tuan rumah secara satu lawan satu, mencari ruang dan melakukan gerakan yang memaksa barisan belakang Indonesia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pengaruh Arif Aiman paling jelas apabila gerakannya menjadi pencetus kepada insiden penting babak pertama yang menyaksikan Thom Haye dilayangkan kad merah.

Haye terpaksa melakukan kekasaran ketika cuba menyekat kemaraan Arif Aiman dan pada awalnya hanya diberikan kad kuning.

Namun, selepas semakan Video Bantuan Pengadil, pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung-jin, menaik taraf hukuman tersebut kepada kad merah pada minit ke-37.

Keputusan itu menyebabkan Indonesia terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain untuk tempoh kira-kira 70 minit.

Sebelum insiden berkenaan, Arif Aiman sudah terlebih dahulu memberikan amaran kepada pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-12, dia melakukan larian solo dari bahagian tengah sebelum melepaskan sepakan yang berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.

Arif Aiman sekali lagi menguji Paes pada minit ke-29 menerusi percubaan jarak jauh, namun penjaga gol berkenaan berjaya mengawal bola.

Aksi pemain negara itu turut mendapat perhatian media Indonesia.

ANTARA menyifatkan Arif Aiman sebagai antara ancaman yang cukup memenatkan sektor kiri pertahanan Garuda menerusi beberapa gerakannya dari sebelah kanan Malaysia.

FIFA turut menyorot kelincahan pemain berkenaan dalam laporan rasmi perlawanan, sekali gus memperlihatkan bahawa persembahannya mendapat perhatian lebih luas sepanjang aksi di GBK.

Reaksi turut muncul dalam kalangan penyokong Indonesia di media sosial selepas Garuda gagal menewaskan Malaysia di laman sendiri dan terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk tempoh panjang.

Walaupun perlawanan berakhir tanpa jaringan, Arif Aiman tetap meninggalkan kesan besar terhadap perjalanan aksi.

Kelincahan, keberanian mencabar lawan serta kebolehannya mencipta ruang memaksa pertahanan Indonesia bekerja keras sepanjang perlawanan.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, turut mengakui kemampuan Arif Aiman membantu Malaysia mencorakkan serangan dengan lebih sistematik.

“Seperti sedia maklum, kita mengetahui kemampuan Arif Aiman dan lariannya cukup pantas serta mampu menjaringkan gol dalam sudut sukar,” katanya.

Selepas memberi tekanan besar kepada benteng Indonesia, Arif Aiman kini dijangka sekali lagi menjadi antara sandaran utama Harimau Malaya apabila Malaysia menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.