Frasa “wasit curang” sekali lagi menjadi antara reaksi paling lantang dalam kalangan sebahagian penyokong Indonesia selepas skuad kebangsaan negara itu gagal menewaskan Harimau Malaya dalam aksi Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Ungkapan berkenaan bukan sesuatu yang baharu apabila penyokong Indonesia sebelum ini turut menggunakannya setiap kali keputusan besar tidak memihak kepada pasukan mereka ketika berdepan Malaysia.
Kekalahan dalam Piala AFF 2010, Sukan SEA 2011 dan kelayakan Piala Dunia serta Piala Asia pada 2019 antara perlawanan yang pernah disusuli tuduhan sama daripada penyokong.
Terbaharu, kegagalan skuad Indonesia yang dibarisi pasukan termahal sepanjang zaman untuk menewaskan Malaysia di GBK turut menghidupkan semula sentimen tersebut.
Antara keputusan pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung-jin, yang dipertikaikan penyokong Indonesia ialah kad merah terhadap pemain tengah Thom Haye serta pembatalan jaringan Justin Hubner pada separuh masa pertama.
Namun, berdasarkan insiden yang berlaku, kad merah Haye diberikan selepas semakan video bantuan pengadil apabila dia dilihat memijak kaki Arif Aiman Hanapi dari belakang selepas bola sudah jauh meninggalkan kawasan berkenaan.
Pengadil pada awalnya tidak terus melayangkan kad merah, tetapi keputusan tersebut berubah selepas semakan VAR dilakukan.
Insiden itu menyebabkan Indonesia terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain untuk tempoh yang panjang.
Pembatalan jaringan Hubner juga menjadi antara perkara yang mencetuskan bantahan penyokong.
Dalam situasi berkenaan, Hubner terlebih dahulu dilihat menolak Brad Tapp sehingga pemain Malaysia itu terjatuh sebelum menerima bola hasil lontaran Kevin Diks dan menyudahkan peluang ke dalam gawang.
Atas faktor tersebut, jaringan berkenaan tidak dikira.
Walaupun penyokong Indonesia terus meluahkan rasa tidak puas hati, dua keputusan utama itu mempunyai asas daripada insiden yang berlaku di atas padang.
Kad merah Haye hadir selepas semakan VAR, manakala jaringan Hubner dibatalkan selepas berlaku kekasaran sebelum jaringan dihasilkan.
Apa yang jelas, frasa “wasit curang” terus menjadi sebahagian daripada reaksi penyokong Indonesia setiap kali pertemuan besar menentang Malaysia menghasilkan keputusan yang mengecewakan mereka.
Namun, dalam aksi kali ini, kedua-dua keputusan yang menjadi pertikaian hadir daripada insiden yang boleh diperincikan menerusi ulang tayang dan semakan pengadil.