SUKAN

Tindakan Aaron-Roy King selepas muncul Juara Terbuka Artik tarik perhatian

Juara Terbuka Artik 2026, Aaron Tai-Yap Roy King, mendedikasikan kejayaan sulung mereka sebagai satu gandingan kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang menjadi individu penting di sebalik percaturan menyatukan kedua-dua pemain berkenaan.

Aaron-Roy King mencipta sensasi di Vantaa, Finland, apabila menewaskan pasangan Taiwan ranking ke-60 dunia, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, 21-19, 21-19 untuk menjulang gelaran kejohanan berstatus Super 500 itu.

Kejayaan tersebut lebih istimewa kerana Terbuka Artik merupakan kejohanan pertama mereka sebagai satu pasangan di pentas Jelajah Dunia.

Herry tidak bersama pasukan di Finland, namun Roy King berkongsi gambar di Instagram yang memperlihatkan dia bersama Aaron menghubungi jurulatih berkenaan menerusi panggilan video selepas kemenangan.

“Ini untuk anda,” kata Roy King dalam pesanan ringkas yang ditujukan kepada Herry.

Dedikasi itu membawa makna tersendiri selepas Herry sebelum ini mengambil keputusan menggandingkan Aaron dan Roy King sebagai sebahagian daripada percaturan baharu sektor beregu lelaki negara.

Menurut Herry, dia sudah melihat potensi besar kombinasi tersebut sejak kira-kira sebulan lalu.

“Apabila saya menyebut ada pasangan yang mempunyai potensi sangat baik, pasangan itu ialah Aaron Tai dan Roy King. Mereka berjaya membuktikannya di Terbuka Artik.

“Saya mempunyai firasat kuat mereka akan memenangi Terbuka Artik dan kejayaan itu tidak begitu mengejutkan berdasarkan bakat serta kualiti yang mereka miliki.

“Namun, ini baru permulaan dan mereka perlu menentang pasangan dalam kelompok 10 terbaik dunia untuk terus berkembang,” kata Herry.

Bagi Roy King, kejuaraan di Finland merupakan gelaran Jelajah Dunia ketiganya selepas menjuarai Terbuka Macau tahun lalu bersama Wan Arif Junaidi dan Masters Korea bersama Tee Kai Wun pada Ogos lalu.

Aaron pula melalui beberapa pertukaran pasangan sebelum digandingkan bersama Roy King.

Dia sebelum ini dipisahkan daripada Kang Khai Xing selepas prestasi mereka dilihat semakin perlahan meskipun pernah muncul juara remaja dunia pada 2024.

Aaron-Khai Xing pernah meraih tiga gelaran tahun lalu menerusi Antarabangsa Syed Modi, Masters Guwahati dan Super 100 Malaysia, tetapi gagal menambah koleksi kejuaraan selepas itu.

Aaron kemudian bergandingan bersama Aaron Chia dan muncul naib juara Terbuka Taiwan pada Ogos sebelum digandingkan dengan Soh Wooi Yik untuk mara ke suku akhir Masters China bulan lalu.

Kejayaan Aaron-Roy King turut memberikan kelegaan kepada Herry apabila mereka menjadi pasangan beregu lelaki pertama di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memenangi gelaran Super 500 tahun ini.

Pencapaian tersebut belum berjaya dilakukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking ke-12 dunia sepanjang musim ini.

Namun seperti ditegaskan Herry, perjalanan Aaron-Roy King baru sahaja bermula.

Selepas kejayaan di Finland, mereka dijadual meneruskan siri Eropah di Terbuka Denmark di Odense bermula esok, sebelum menyertai Terbuka Perancis dari 20 hingga 25 Oktober dan Terbuka Hylo dari 27 Oktober hingga 1 November.