Ketua pasukan Indonesia, Kevin Diks, meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir penyokong yang melaungkan nama bekas jurulatih, Shin Tae-yong, selepas Sang Garuda seri 0-0 dengan Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan A Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Laungan itu muncul sebagai tanda protes selepas ribuan penyokong tuan rumah tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan yang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Sebahagian penyokong mahu Shin kembali mengendalikan pasukan kebangsaan Indonesia, sekali gus mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan jurulatih semasa, John Herdman.
Tekanan itu turut disertai desakan supaya Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia melakukan perubahan selepas Sang Garuda gagal meraih kemenangan dalam perlawanan berkenaan.
Namun, Kevin melihat reaksi itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Menurutnya, keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada jurulatih, malah boleh menjejaskan pemain yang sedang berusaha memberikan yang terbaik.
“Saya rasa ini tidak benar.”
“Ini tidak baik untuk para pemain dan jurulatih.
“Kami mencuba berjuang dengan 10 pemain. Itu sangat sulit.
“Saya kecewa dengan segelintir penyokong,” katanya.
Kevin turut menekankan bahawa situasi perlawanan berubah selepas Indonesia terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Kekurangan seorang pemain menjadikan cabaran lebih sukar, terutama ketika berdepan Harimau Malaya yang terus memberikan tekanan sepanjang perlawanan.
Walaupun keputusan 0-0 dianggap mengecewakan oleh penyokong, Indonesia tetap berjaya mengelak kekalahan dalam keadaan yang mencabar.
Namun, suasana selepas tamat perlawanan menunjukkan tahap ketidakpuasan yang tinggi di kalangan penyokong tempatan.
Nama Shin Tae-yong kembali bergema di GBK sebagai simbol kepada rasa tidak puas hati terhadap prestasi semasa Sang Garuda.
Shin pernah mengendalikan skuad senior Indonesia dari 2020 hingga 2025 dan masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan sebahagian penyokong.
Situasi itu kini meletakkan John Herdman dan pemain dalam keadaan perlu berdepan bukan sahaja tekanan di atas padang, tetapi juga jangkaan tinggi daripada penyokong.
Bagi Kevin, sokongan ketika pasukan berdepan kesukaran lebih diperlukan berbanding desakan yang boleh menambahkan tekanan.
Walaupun mengakui kekecewaan terhadap keputusan, dia tetap mempertahankan usaha rakan sepasukan yang berjuang dengan 10 pemain.
Keputusan 0-0 menentang Malaysia mungkin tidak memenuhi harapan penyokong Indonesia, namun reaksi selepas perlawanan menjadi satu lagi cabaran yang perlu diurus pasukan dalam meneruskan kempen Piala ASEAN FIFA.