Nama Arif Aiman Hanapi terus mencuri perhatian dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 apabila pemain sayap Harimau Malaya itu turut disoroti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai antara watak penting dalam kejohanan berkenaan.
Dalam artikel yang diterbitkan FIFA, beberapa elemen utama dalam permainan Arif Aiman diberikan perhatian termasuk kreativiti, kepantasan dan naluri penyudahnya.
Pengiktirafan itu memperlihatkan kualiti pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun berkenaan semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa, terutama selepas aksi cemerlangnya dalam perlawanan pembukaan Harimau Malaya.
Arif Aiman menjadi antara watak utama ketika Malaysia menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pertama saingan apabila meledak dua gol untuk membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe memulakan kempen dengan kemenangan.
Pemain sayap itu membuka tirai jaringannya pada minit ke-18 selepas menerima hantaran Nooa Laine.
Arif Aiman kemudian menunjukkan ketenangan untuk menewaskan penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon, sekali gus memberikan Malaysia kelebihan awal.
Dia tidak berhenti di situ apabila kembali mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-37.
Kali ini, Arif Aiman menyudahkan hantaran Stuart Wilkin dengan penyudah bertenaga untuk menggandakan kelebihan Harimau Malaya.
Dua jaringan tersebut melengkapkan persembahan cemerlang pemain berkenaan dalam aksi pembukaan.
Namun, perhatian FIFA terhadap Arif Aiman bukan semata-mata berdasarkan jumlah jaringan yang dihasilkan.
Badan induk bola sepak dunia itu turut melihat kreativiti serta kepantasannya sebagai elemen yang mampu memberikan dimensi berbeza kepada jentera serangan Malaysia sepanjang kejohanan.
Kemampuan Arif Aiman mencipta peluang, bergerak pantas dan menyempurnakan peluang turut menjadikannya antara sandaran utama dalam struktur serangan Harimau Malaya.
FIFA turut menyenaraikan pemain berkenaan dalam salah satu ‘key match-up’ menjelang pertemuan Malaysia menentang Indonesia.
Arif Aiman diletakkan sebagai antara pemain yang perlu diberikan perhatian bersama bintang skuad Garuda, Ole Romeny.
Romeny turut mencuri perhatian selepas menjaringkan gol ketika membantu Indonesia menewaskan Singapura 2-0.
Kedua-dua pemain dilihat FIFA sebagai antara watak penting yang mampu mencorakkan permainan pasukan masing-masing dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026.
Bagi Arif Aiman, perhatian berkenaan hadir ketika dia berada dalam momentum positif selepas dua gol dalam aksi pembukaan.
Prestasi itu bukan sahaja membantu Harimau Malaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, malah turut memperlihatkan peranannya dalam jentera serangan pasukan.
Kini, tumpuan terhadap pemain JDT itu semakin meningkat apabila kualitinya turut diberi perhatian FIFA menjelang cabaran seterusnya dalam kempen Malaysia.