SUKAN

Ratusan penyokong Harimau Malaya ‘ditahan’

Tiada sebarang kekecohan berlaku selepas pertemuan Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, namun ratusan penyokong Harimau Malaya tetap perlu menunggu lebih sejam sebelum dibenarkan meninggalkan stadium, sebentar tadi.

Langkah itu diambil pihak keselamatan bagi memastikan pergerakan penyokong pelawat dapat dikawal selepas aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Penyokong Malaysia diarahkan kekal berada di kawasan yang ditetapkan sementara puluhan ribu penyokong tuan rumah diberikan ruang untuk bersurai dan meninggalkan stadium terlebih dahulu.

Puluhan anggota keselamatan turut ditempatkan di sekitar pagar kawasan penyokong Harimau Malaya sepanjang tempoh berkenaan.

Kawalan tersebut bertujuan memastikan pergerakan penyokong Malaysia kekal teratur dan tidak bercampur dengan kelompok penyokong Indonesia yang sedang keluar dari stadium.

Penyokong pelawat juga tidak dibenarkan menghampiri kawasan penyokong tuan rumah sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang insiden yang tidak diingini.

Sepanjang tempoh menunggu, keadaan kekal terkawal.

Tiada provokasi dilaporkan dilakukan oleh penyokong Indonesia, manakala penyokong Malaysia turut mematuhi arahan keselamatan yang diberikan.

Selepas aliran penyokong tuan rumah semakin berkurangan, penyokong Harimau Malaya kemudian dibenarkan bergerak keluar secara berperingkat.

Situasi tersebut berlaku selepas perlawanan yang disaksikan 56,894 penonton berakhir tanpa sebarang jaringan.

Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan keputusan lebih baik selepas Indonesia terpaksa bermain dengan 10 pemain bermula minit ke-35.

Situasi itu berlaku selepas Thom Haye dilayangkan kad merah, sekali gus memberikan Harimau Malaya kelebihan jumlah pemain untuk tempoh yang panjang.

Bagaimanapun, skuad negara gagal menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan.

Indonesia berjaya bertahan sehingga tamat permainan dan keputusan 0-0 kekal apabila wisel penamat dibunyikan.

Satu mata yang diperoleh membolehkan Malaysia terus berada di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata.

Selepas menamatkan aksi menentang Indonesia, Harimau Malaya kini akan mengalihkan perhatian kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Singapura.

Pertemuan itu akan berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Sementara itu, prosedur keselamatan selepas perlawanan di GBK berjalan tanpa insiden apabila penyokong Malaysia akhirnya dapat meninggalkan stadium secara berperingkat selepas keadaan di sekitar venue dianggap sesuai.

Walaupun terpaksa menunggu lebih lama, langkah tersebut memastikan penyokong pelawat dapat keluar tanpa berdepan sebarang kekecohan dengan penyokong tuan rumah.