Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain apabila terikat 0-0 dengan Indonesia selepas tamat separuh masa pertama aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Indonesia terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35, namun skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih belum berjaya memecahkan kebuntuan sehingga wisel rehat.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, Malaysia berdepan detik cemas seawal minit keempat apabila Justin Hubner berjaya menghantar bola ke dalam gawang ketika berlaku kekalutan di depan pintu gol negara.
Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko, sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Malaysia kemudian mula memberikan tindak balas dan hampir membuka akaun gol pada minit ke-12 menerusi Arif Aiman Hanapi.
Pemain sayap itu melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan, namun penjaga gol Indonesia, Maarten Paes, berjaya menepis percubaan berkenaan keluar.
Tekanan Malaysia semakin meningkat dan suasana bising di GBK turut seketika reda apabila Harimau Malaya beberapa kali berjaya memberikan ancaman kepada pertahanan tuan rumah.
Bergson da Silva turut memperoleh peluang baik pada minit ke-16 selepas menerima umpanan Faisal Halim, tetapi penyerang berkenaan gagal melakukan tandukan yang diperlukan untuk memberikan Malaysia kelebihan.
Indonesia selepas itu cuba menggunakan bahagian kanan untuk membina serangan dengan beberapa hantaran silang dihantar ke dalam kawasan penalti Malaysia.
Namun, benteng negara yang diketuai Dion Cools kekal tenang untuk mengekang asakan pasukan kendalian John Herdman.
Arif Aiman pula terus menjadi antara pemain paling aktif buat Malaysia apabila kelincahan dan pergerakannya beberapa kali mengganggu pertahanan Indonesia.
Tekanan terhadap pemain berkenaan akhirnya membawa kepada detik penting pada minit ke-35 apabila Haye mengasarinya.
Pengadil pada awalnya melayangkan kad kuning kepada pemain nombor 19 Indonesia itu, namun keputusan berubah selepas semakan video bantuan pengadil dilakukan.
Terjahan berkenaan akhirnya dihukum dengan kad merah, sekali gus menyebabkan tuan rumah terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain.
Indonesia segera melakukan perubahan dengan memasukkan Ivar Jenner bagi menggantikan Ragnar Oratmangoen untuk menyesuaikan pasukan selepas kehilangan seorang pemain.
Malaysia bagaimanapun masih gagal menggunakan kelebihan tersebut dalam tempoh lapan minit terakhir separuh masa pertama.
Malah, Dean James hampir membuka jaringan buat Indonesia menerusi satu percubaan berbahaya yang sempat ditepis penjaga gol negara, Syiham Hazmi.
Harimau Malaya terus memberikan tekanan dalam baki masa tambahan, namun benteng Indonesia kekal bertahan untuk memastikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0.