SUKAN

TERKINI : Keputusan Penuh aksi Malaysia berdepan Indonesia

Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain apabila sekadar seri 0-0 dengan Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan 56,894 penonton, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mempunyai beberapa peluang untuk memecahkan kebuntuan, khususnya selepas Indonesia kehilangan Thom Haye yang dilayangkan kad merah pada minit ke-35.

Indonesia terlebih dahulu mencemaskan pertahanan negara seawal minit keempat apabila Justin Hubner berjaya menyudahkan bola ketika berlaku kekalutan di depan pintu gol Malaysia.

Bagaimanapun, jaringan berkenaan dibatalkan pengadil perlawanan.

Malaysia kemudian hampir membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Arif Aiman Hanapi yang melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.

Empat minit kemudian, Bergson da Silva turut memiliki peluang selepas menerima umpanan Faisal Halim, tetapi tandukannya gagal menghasilkan gol.

Indonesia pula terus mengancam dari sebelah kanan menerusi beberapa hantaran silang, namun benteng negara yang diketuai Dion Cools kekal tenang mengekang asakan skuad kendalian John Herdman.

Arif Aiman terus menjadi antara ancaman utama Malaysia apabila beberapa gerakannya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.

Situasi itu membawa kepada insiden minit ke-35 apabila Haye mengasari Arif Aiman.

Pengadil dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko, pada awalnya melayangkan kad kuning sebelum semakan video bantuan pengadil mendapati terjahan itu wajar dihukum dengan kad merah.

Indonesia kemudian memasukkan Ivar Jenner bagi menggantikan Ragnar Oratmangoen, manakala Malaysia masih gagal mencari gol hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Arif Aiman dilayangkan kad kuning pada minit ke-48 sebelum Cheng Hoe memasukkan Paulo Josue menggantikan Faisal pada minit ke-54.

Josue hampir membuka jaringan menerusi tandukan hasil hantaran silang Manuel Hidalgo, tetapi bola sedikit melepasi palang.

Malaysia terus menambah tekanan dengan kemasukan Fergus Tierney pada minit ke-71 bagi menggantikan Hidalgo.

Tierney turut hampir memecah kebuntuan selepas menerima umpanan Bergson sebelum melakukan tolakan ke arah gawang, namun percubaannya juga melepasi palang.

Harimau Malaya terus menguasai permainan menerusi Arif Aiman, Bergson dan Stuart Wilkin, tetapi benteng Indonesia yang lebih banyak berkampung di kawasan sendiri berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 hingga tamat permainan.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Malaysia kekal menerajui Kumpulan A dengan empat mata, sama seperti Indonesia di tempat kedua, tetapi mempunyai kelebihan jaringan.

Harimau Malaya seterusnya akan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dalam aksi terakhir kumpulan, manakala final dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober sekiranya Malaysia layak.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Singapura menewaskan Bangladesh 1-0 hasil jaringan Harhys Stewart pada minit ke-35.