Pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang diraih M Thinaah bersama Pearly Tan membawa makna sangat besar selepas pemain beregu wanita negara itu melalui tempoh sukar dalam kehidupan peribadinya sepanjang sebulan lalu.
Thinaah mendedikasikan pencapaian tersebut kepada neneknya yang meninggal dunia bulan lalu, sebelum dia turut kehilangan arnab kesayangannya, Roger, beberapa minggu kemudian.
Nenek Thinaah meninggal dunia pada 21 Ogos lalu, hanya dua hari selepas Kejohanan Dunia bermula di New Delhi.
Situasi itu menyebabkan Thinaah terpaksa terbang pulang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada neneknya sebelum kembali meneruskan tanggungjawab dan perjuangan di gelanggang.
Belum sempat pulih sepenuhnya daripada kehilangan tersebut, dia sekali lagi diuji apabila arnab kesayangannya pula mati tiga minggu kemudian.
“Tiga minggu kemudian, saya kehilangan Roger, arnab kesayangan saya. Tetapi dia tidak berasa sakit dan pergi dengan tenang. Saya tahu dia berada di tempat yang lebih baik, melompat dengan bebas dan gembira sekarang.
“Jadi, begitulah gambaran sebulan yang lalu. Ia benar-benar sukar untuk saya. Hanya mereka yang tahu akan memahami betapa sukarnya untuk saya datang berlatih, kemudian terus pulang ke rumah, tanpa tidur dan pemulihan yang cukup, tetapi saya masih mampu hadir,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Thinaah berkata, sokongan daripada barisan kejurulatihan dan Pearly banyak membantunya mengharungi tempoh sukar berkenaan.
Walaupun berdepan tekanan emosi, dia tetap meneruskan latihan dan persiapan sebelum turun berjuang di Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Menurut Thinaah, antara perkara penting yang dipegangnya sepanjang perjalanan tersebut adalah memastikan mereka tidak meninggalkan penyesalan di gelanggang dan terus menikmati permainan.
“Satu perkara yang jelas ialah jangan tinggalkan sebarang penyesalan di gelanggang dan nikmati permainan.
“Sedikit kecewa kerana tidak mara ke final dan mendapat peluang memburu emas, tetapi dengan apa yang kami lalui sepanjang sebulan lalu, kami perlu memberikan tepukan kepada diri sendiri,” katanya.
Pearly-Thinaah terlepas peluang mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia mara ke final Sukan Asia selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, pada aksi separuh akhir, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan mereka menamatkan kempen dengan pingat gangsa.
Bagi Thinaah, pingat berkenaan bukan sekadar pencapaian di gelanggang, sebaliknya menjadi hasil perjuangan dalam satu tempoh peribadi yang sangat mencabar.
Selepas melalui kehilangan dua insan dan makhluk kesayangan dalam tempoh singkat, kejayaan berdiri di podium bersama Pearly menjadi satu detik yang mempunyai nilai tersendiri buat dirinya.