Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir acara pecut selepas menewaskan pelumba Jepun, Kanata Takahashi dalam saingan suku akhir di Velodrom Izu, sebentar tadi.
Azizulhasni memastikan kemaraan menerusi dua kemenangan berturut-turut dalam perlumbaan satu dan dua, sekali gus menyingkirkan wakil tuan rumah tanpa perlu melalui perlumbaan penentuan.
Pelumba negara yang juga juara keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu tampil meyakinkan sejak perlumbaan pertama apabila mengawal saingan dengan baik sebelum melakukan pecutan untuk mendapatkan kemenangan.
Rentak positif itu diteruskan dalam perlumbaan kedua, meskipun Takahashi memberikan tentangan lebih sengit dalam usaha mengheret saingan ke perlumbaan ketiga.
Tiada masalah besar buat Azizulhasni dalam perlumbaan pertama apabila dia berjaya melaksanakan strategi dengan kemas dan memastikan kelebihan memihak kepadanya hingga ke garisan penamat.
Namun, situasi berbeza berlaku dalam perlumbaan kedua apabila Takahashi cuba mengubah corak perlumbaan dengan melakukan pecutan awal pada pusingan terakhir.
Tindakan pelumba Jepun itu hampir membuahkan hasil apabila dia cuba memanfaatkan kelebihan kedudukan untuk berada di hadapan menjelang fasa terakhir perlumbaan.
Azizulhasni bagaimanapun tidak panik dan terus mengekalkan momentum sebelum melakukan henjutan pada selekoh terakhir.
Pecutan itu membolehkan kebanggaan Malaysia tersebut kembali berada di hadapan dan seterusnya memenangi perlumbaan kedua.
Kemenangan berkenaan memastikan Azizulhasni menutup saingan suku akhir dengan keputusan 2-0 dan mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik.
Kemaraannya turut mengekalkan peluang Malaysia untuk terus mencabar dalam acara pecut selepas Azizulhasni berjaya melepasi satu lagi halangan penting di Velodrom Izu.
Prestasi dalam dua perlumbaan suku akhir itu memperlihatkan ketenangan dan keupayaan Azizulhasni membuat keputusan ketika berada dalam situasi tekanan, khususnya apabila Takahashi cuba mengambil inisiatif lebih awal dalam perlumbaan kedua.
Azizulhasni kini akan kembali ke trek pada petang ini bagi menghadapi saingan separuh akhir.
Untuk rekod, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu pernah memenangi pingat emas acara pecut pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.
Dengan kemenangan ke atas Takahashi, Azizulhasni meneruskan kempen dengan langkah meyakinkan dan kini hanya dipisahkan satu peringkat sebelum berpeluang beraksi dalam perlumbaan penentuan pingat.