SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi Aaron-Wooi Yik berdepan Juara Terbuka Artik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pertembungan sesama Malaysia yang dinanti-nantikan apabila menewaskan Aaron Tai-Yap Roy King untuk mara ke suku akhir Terbuka Denmark 2026 di SJF Bank Arena, sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keempat, Aaron-Soh menang straight set 21-18, 21-11 dalam tempoh 33 minit untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan berstatus Super 750 itu.

Walaupun keputusan berakhir dalam dua set, pasangan utama negara tidak diberikan laluan mudah pada set pembukaan.

Aaron-Roy King yang masih segar selepas menjuarai Terbuka Artik di Finland minggu lalu tampil berani dan beberapa kali menyebabkan Aaron-Soh berada dalam kedudukan mengejar.

Juara Terbuka Artik itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18 ketika set pertama memasuki fasa genting dan berpeluang memberikan tekanan lebih besar kepada pasangan berpengalaman negara.

Namun, Aaron-Soh menunjukkan ketenangan pada waktu paling penting.

Mereka memperoleh tiga mata berturut-turut untuk menamatkan set pembukaan 21-18, sekali gus meredakan ancaman Aaron-Roy King.

Momentum tersebut kemudian dibawa ke set kedua.

Aaron-Soh tampil jauh lebih tersusun dan mula mengawal permainan sejak awal, manakala Aaron-Roy King tidak lagi mampu menghasilkan tentangan serapat set pertama.

Pasangan yang kembali bergandingan secara tetap itu menggunakan pengalaman mereka untuk mendominasi permainan sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-11.

Kemenangan tersebut memastikan Aaron-Soh meneruskan permulaan positif sejak kembali sebagai pasangan tetap.

Pada pusingan pertama, mereka turut terpaksa melalui tiga set sebelum menyingkirkan juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-19, 14-21, 21-11.

Aaron-Soh sebelum ini dipisahkan sementara sebagai sebahagian daripada eksperimen gandingan beregu lelaki negara sebelum kembali bersama dan muncul naib juara Kejohanan Dunia di New Delhi.

Mereka kemudian memohon untuk meneruskan gandingan secara tetap dengan sasaran utama memburu emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagi Aaron-Roy King pula, kekalahan itu menamatkan rentetan menarik mereka selepas menghasilkan permulaan luar biasa sebagai pasangan baharu.

Minggu lalu, mereka terus muncul juara Terbuka Artik dalam kejohanan individu pertama bersama dengan menewaskan Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng dari Taiwan pada final.

Di Denmark, mereka turut bangkit menewaskan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min, sebelum mendapat peluang menguji kemampuan berdepan Aaron-Soh.

Aaron-Soh kini akan menantikan pemenang pertemuan antara Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita dari Jepun dengan Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China bagi perebutan tempat ke separuh akhir esok.