SUKAN

Park Hang-seo meluru, polis Thailand terpaksa iringi

Lima minit masa tambahan yang diumumkan tetapi permainan berlanjutan sehingga sekitar minit kelapan mencetuskan kemarahan Ketua Jurulatih Kanchanaburi Power, Park Hang-seo, selepas pasukannya dinafikan kemenangan dalam saingan Liga Thai 2.

Kanchanaburi terikat 1-1 dengan Muang Loei United dalam perlawanan ketujuh musim di Stadium Universiti Loei Rajabhat selepas Thiago Moreira menjaringkan gol penyamaan pada minit keenam masa tambahan.

Gol menerusi tandukan itu memadam kelebihan Kanchanaburi yang diperoleh melalui jaringan Patrick Marcelino pada minit ke-75.

Apa yang menjadi pertikaian utama Hang-seo adalah keputusan pengadil, Rangsan Kangchainguan, membenarkan permainan diteruskan selepas lima minit masa tambahan yang dipaparkan.

Lebih menimbulkan rasa tidak puas hati, perlawanan hanya berakhir pada minit kelapan masa tambahan sejurus Kanchanaburi mengambil sepakan percuma.

Sebaik wisel dibunyikan, Hang-seo terus bergegas memasuki padang untuk bersemuka dengan pengadil.

Beliau bagaimanapun sempat dihalang oleh pembantu jurulatihnya sendiri serta pengadil keempat sebelum situasi menjadi lebih tegang.

Bekas pengendali Vietnam itu kemudian menuju ke kawasan terowong dan turut berdepan penilai pengadil, Sakchai Paebua serta CEO Muang Loei, Nattakorn Pattanachaikul.

Pihak penganjur akhirnya mengerahkan anggota polis untuk mengiringi pegawai perlawanan selain memastikan jurulatih Kanchanaburi tidak mendekati mereka.

Hang-seo selepas itu meluahkan kritikan terbuka terhadap mutu pengadilan.

“Saya bukan bercakap soal menang atau kalah, tetapi apabila pengadil bertindak sebegini, ia merosakkan segala-galanya.

“Segala titik peluh, kerja keras, semangat dan masa yang dilaburkan — semuanya sia-sia begitu sahaja.

“Saya boleh sahaja letak jawatan maka tamatlah ceritanya. Tetapi adakah begini cara anda menguruskan bola sepak? Ia tidak akan pernah berkembang dengan cara sebegini.

“Jika saya benar-benar meletak jawatan, saya akan meluahkan pandangan saya secara terbuka mengenai bola sepak Thailand.

“Pengadil perlu menjalankan tugas mereka dengan hati nurani yang bersih,” katanya.

Hang-seo sebelum ini pernah mengkritik tahap pengadilan Liga Thai selepas perlawanan menentang Nakhon Pathom pada September.

Justeru, insiden terbaru itu menambahkan lagi rasa tidak puas hatinya terhadap standard pegawai perlawanan.

Bagaimanapun, pihak Muang Loei menolak gambaran bahawa masa tambahan tersebut semata-mata berpunca daripada tindakan pengadil.

Nattakorn mendakwa Kanchanaburi sendiri turut menggunakan masa dalam beberapa situasi sepanjang permainan.

“Pada pandangan saya, pihak Kanchanaburi sendiri turut melengahkan masa dalam beberapa situasi.

“Begitulah lumrah bola sepak. Mustahil untuk semua pihak mendapatkan apa yang mereka hajati apabila wisel penamat dibunyikan,” katanya menerusi media sosial.

Dalam bola sepak, jumlah masa tambahan yang dipaparkan merupakan tempoh minimum dan pengadil boleh menambah masa sekiranya berlaku kelewatan tambahan ketika tempoh tersebut berlangsung.

Namun bagi Hang-seo, apa yang berlaku kali ini tetap menimbulkan persoalan besar sehingga beliau secara terbuka menggesa pegawai perlawanan menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab.

Gol pada minit 90+6 akhirnya memberikan Muang Loei satu mata.

Tetapi selepas wisel penamat, kontroversi mengenai tiga minit tambahan melebihi tempoh yang diumumkan menjadi cerita terbesar daripada perlawanan itu.