Perkembangan terbaru mengenai status tujuh pemain warisan yang terpalit dengan kes pemalsuan dokumen kelayakan mencetuskan persoalan sama ada mereka kini boleh kembali mewakili Harimau Malaya selepas dilaporkan menamatkan penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, kebenaran kembali beraksi dalam pertandingan domestik dan kelayakan menyarung jersi skuad kebangsaan merupakan dua perkara berbeza yang tertakluk kepada peraturan serta keputusan badan pentadbir bola sepak berkaitan.
Pada Ahad, media melaporkan sepucuk surat yang didakwa daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tersebar di media sosial dengan kandungannya memaklumkan tujuh pemain terbabit boleh kembali beraksi bermula 1 November 2026.
Perkembangan itu susulan hukuman penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lalu selepas berlaku pelanggaran berkaitan dokumen kelayakan pemain.
Walaupun laporan berkenaan membuka kemungkinan mereka kembali memperkuat kelab masing-masing, pengesahan rasmi mengenai surat yang tular itu masih diperlukan.
Apa yang menarik, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, menegaskan bahawa status ketujuh-tujuh pemain sebagai warganegara Malaysia sebenarnya sudah dimaklumkan kepada pihak berkepentingan sebelum ini.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dijelaskan kepada wakil kelab ketika sesi perbincangan bersama MFL yang diadakan pada April lalu.
“Seperti yang saya katakan di peringkat MFL, masa meja bulat pun (perbincangan meja bulat) kita dah nyatakan…CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Shazli (Mohd Shazli Shaik Mohd) pun dah mengatakan bahawa mereka ini rakyat Malaysia,” katanya.
Kenyataan berkenaan selari dengan pendirian MFL yang sebelum ini mengesahkan pendaftaran pemain terbabit sebagai pemain tempatan dibuat berdasarkan dokumen pengenalan diri Malaysia yang sah.
Dalam kenyataan pada September lalu, MFL menjelaskan bahawa pemain yang memiliki kewarganegaraan Malaysia dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang memenuhi syarat boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Pihak liga turut memaklumkan bahawa ketetapan berkenaan sudah diterangkan kepada wakil kelab ketika perbincangan pada 29 April 2026.
Bagaimanapun, kedudukan sebagai warganegara Malaysia tidak secara automatik membolehkan seseorang pemain mewakili pasukan kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa.
Ini kerana FIFA mempunyai peraturan tersendiri berkaitan kelayakan pemain, termasuk syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang individu mewakili sesebuah negara.
Dalam kes tujuh pemain tersebut, badan induk bola sepak dunia sebelum ini mendapati dokumen yang digunakan untuk mengesahkan kelayakan mereka mengandungi pemalsuan.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kes tersebut menjadi perhatian selepas mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
FIFA kemudian menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap setiap pemain, selain mengenakan denda CHF350,000 terhadap FAM dan CHF2,000 kepada setiap pemain.
Selepas keputusan rayuan di FIFA tidak memihak kepada mereka, kes itu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pada Januari lalu, CAS membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan hukuman yang membolehkan ketujuh-tujuh pemain kembali beraksi sehingga keputusan rayuan diumumkan.
Bagaimanapun, keputusan pada 5 Mac menyaksikan CAS mengekalkan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi, namun membenarkan mereka terus menjalani latihan dan aktiviti lain bersama kelab.
CAS turut mengekalkan denda yang dikenakan terhadap FAM selepas mendapati pelanggaran berkaitan dokumen kelayakan telah terbukti.
Perkembangan terbaru pada 1 November kini menimbulkan kemungkinan pemain terbabit kembali diturunkan dalam Liga Malaysia selepas tempoh hukuman tersebut dilaporkan berakhir.
Empat daripada tujuh pemain terbabit kini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero.
Bagi pasukan kelab, kepulangan mereka berpotensi memperkukuhkan pilihan pemain dalam pertandingan domestik, tertakluk kepada pengesahan kelayakan serta pendaftaran yang sah.
Namun, keadaan berbeza bagi skuad Harimau Malaya apabila Ab Ghani pada Oktober lalu menegaskan bahawa FIFA masih tidak membenarkan ketujuh-tujuh pemain itu mewakili Malaysia.
Ini bermakna tamatnya penggantungan daripada perlawanan rasmi tidak semestinya mengubah keputusan berkaitan kelayakan mereka di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, penyelesaian isu berkenaan memerlukan pengesahan jelas daripada pihak berkaitan supaya status pemain dalam Liga Malaysia tidak disamakan dengan kelayakan menyertai skuad kebangsaan.