SUKAN

TERKINI : Jonassen akhirnya hilang sabar dengan Jun Hao

Tekanan semakin memuncak dalam kem perseorangan lelaki negara apabila Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen memberi amaran tegas kepada Leong Jun Hao bahawa pemain itu kini berada di peluang terakhir untuk membuktikan dirinya masih relevan dalam skuad kebangsaan.

Jurulatih dari Denmark itu tidak lagi berselindung terhadap kekecewaannya selepas melihat prestasi hambar dipamerkan pemain perseorangan lelaki negara, termasuk Jun Hao yang gagal memanfaatkan peluang beraksi di Masters Malaysia.

Menurut Jonassen, perubahan sikap dan disiplin kini menjadi tuntutan utama sekiranya pemain mahu terus bersaing di peringkat tertinggi badminton dunia, sambil menegaskan bakat semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan seseorang pemain mampu kekal kompetitif.

“Pertama sekali, saya percaya kepada peluang terakhir. Selagi pemain memahami bahawa mulai sekarang mereka wajib melakukan perubahan yang diperlukan.

“Kami boleh beri nasihat, pelan dan peluang terbaik. Tetapi jika anda tidak sanggup berubah, anda tidak akan pergi jauh,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika skuad perseorangan lelaki negara terus bergelut mencari kestabilan prestasi, sedangkan perseorangan wanita mula menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak Jonassen mengambil alih bahagian perseorangan pada Januari 2025.

Dalam tempoh itu, pemain ranking ke-32 dunia, K Letshanaa berjaya melonjak daripada berada di luar kelompok 50 terbaik dunia, manakala Wong Ling Ching yang kini menghuni ranking ke-33 dunia turut memperagakan peningkatan ketara selepas sebelum ini berada di kedudukan ke-95 dunia.

Perkembangan positif itu secara tidak langsung menyerlahkan jurang prestasi antara pemain perseorangan wanita dan lelaki negara ketika ini.

Kedua-dua pemain wanita berkenaan bukan sahaja berjaya memperbaiki ranking dunia, malah mula melangkah lebih jauh dalam kejohanan bertaraf tinggi termasuk Super 300 dan Super 500 selepas sebelum ini hanya beraksi di kejohanan Siri Antarabangsa serta Cabaran Antarabangsa.

Lebih penting, mereka juga sudah mula mencatat kemenangan berkualiti ke atas pemain kelompok elit dunia seperti Michelle Li dari Kanada dan Pornpawee Chochuwong dari Thailand, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi mereka bukan sekadar bersifat sementara.

Sebaliknya, situasi berbeza terus menghantui perseorangan lelaki negara apabila Jun Hao dan Justin Hoh gagal memberikan cabaran konsisten di kejohanan utama.

Di Masters Malaysia yang berlangsung di Arena Unifi, Bukit Jalil, Jun Hao yang berada di ranking ke-25 dunia tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain China ranking ke-69 dunia, Hu Zhe An dengan keputusan 21-19, 23-21.

Justin yang menghuni ranking ke-45 dunia turut menerima nasib sama apabila tunduk kepada pemain Indonesia ranking ke-46 dunia, Anthony Ginting 21-16, 21-14.

Kekalahan itu jelas menambah tekanan terhadap skuad perseorangan lelaki negara yang masih gagal menampilkan peningkatan ketara walaupun telah melalui proses latihan di bawah struktur baharu kendalian Jonassen.

Jurulatih kelahiran Denmark itu turut menegaskan bahawa disiplin dan kesanggupan untuk keluar daripada zon selesa menjadi faktor utama yang membezakan pemain yang berjaya dengan mereka yang terus ketinggalan.

Menurutnya, pemain perlu mengubah tabiat lama dan melatih diri untuk mengekalkan intensiti tinggi setiap hari tanpa mengira keadaan.

“Masalah sekarang ialah tabiat. Anda perlu ubah tabiat dan mengingatkan diri setiap hari. Itu perkara paling sukar.

“Ingat, jurulatih boleh beri nasihat tetapi pemain yang perlu melaksanakannya. Kami boleh ada pelan terbaik, tetapi jika pemain tidak berani melaksanakannya, tiada gunanya.

“Ini bukan hanya untuk Jun Hao tetapi keseluruhan pemain perseorangan lelaki. Intensiti tinggi dan kesediaan berada dalam keadaan tidak selesa adalah kunci utama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Letshanaa sekali lagi membuktikan peningkatan prestasinya apabila mara ke pusingan kedua Masters Malaysia selepas menewaskan pemain Denmark ranking ke-39 dunia, Amalie Schulz 21-13, 19-21, 21-15.

Bagaimanapun, perjalanan Ling Ching terhenti selepas memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada pemain Vietnam ranking ke-21 dunia, Nguyen Thuy Linh 12-21, 21-13, 25-23 dalam satu lagi aksi yang berlangsung penuh kompetitif.

Keputusan itu tetap memperlihatkan perkembangan positif skuad perseorangan wanita negara yang kini semakin konsisten memberikan saingan di kejohanan utama, sekali gus menjadi penanda aras baharu kepada perseorangan lelaki negara untuk segera bangkit sebelum terus tercicir di pentas antarabangsa.