SUKAN

TERKINI : Malaysia kemuka aduan rasmi tiga pegawai ‘batu api’ Thailand tidak berdaftar

Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil pendirian tegas terhadap isu yang tercetus ketika perlawanan akhir Piala Dunia ISTAF acara regu berpasukan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Sabtu lalu apabila secara rasmi mengemukakan aduan kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berhubung tingkah laku beberapa pegawai daripada Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT).

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, badan induk sepak takraw negara memaklumkan bahawa terdapat tiga pegawai Thailand yang didakwa tidak berdaftar secara sah dalam senarai rasmi pasukan tetapi berada di kawasan bangku simpanan pelawat ketika operasi perlawanan masih berlangsung.

Menurut beliau, situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan besar kerana kehadiran individu terbabit dilihat berlaku ketika suasana perlawanan berada dalam keadaan tegang dan memerlukan kawalan serta pengurusan profesional daripada semua pihak yang terlibat.

“Sebagai pemimpin kanan sepak takraw di Thailand dan wakil yang memegang jawatan penting dalam pergerakan sukan dan struktur Olimpik, adalah sangat mengecewakan dan membimbangkan apabila mendapati bahawa pegawai-pegawai ini tidak membantu dalam menenangkan keadaan atau menggalakkan pemain Thailand untuk kembali ke gelanggang dan melengkapkan perlawanan mengikut Undang-undang Permainan dan peraturan pertandingan.

“Sebaliknya, kehadiran mereka dan penglibatan berterusan dengan pemain semasa pemberhentian perlawanan nampaknya menyumbang lebih kepada gangguan dan ketidakpastian yang menyelubungi situasi waktu itu,” katanya.

PSM turut menegaskan bahawa individu yang memegang kedudukan penting dalam struktur sukan antarabangsa sepatutnya mempamerkan contoh kepimpinan yang baik terutama ketika berdepan tekanan pertandingan berprofil tinggi yang disaksikan penonton global.

Dalam kenyataan sama, Abidullah menjelaskan bahawa rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil seharusnya disalurkan menerusi saluran rasmi yang diperuntukkan dalam peraturan ISTAF dan bukannya dengan tindakan enggan meneruskan perlawanan.

“Sebagai pemimpin sukan, terutamanya di peringkat penglibatan pergerakan antarabangsa dan Olimpik, mereka sepatutnya menunjukkan kepimpinan, ketenangan, profesionalisme, semangat kesukanan, dan rasa hormat terhadap autoriti pengadil dan pegawai pertandingan. Jika terdapat rasa tidak puas hati dengan keputusan pengadil, jalan yang sesuai di bawah peraturan ISTAF adalah melalui prosedur protes rasmi dan bukan melalui penolakan untuk meneruskan perlawanan,” katanya.

Kontroversi yang berlaku pada aksi final itu turut mendapat perhatian kerana kejohanan berkenaan disiarkan secara langsung menerusi televisyen serta pelbagai platform penstriman antarabangsa yang mencapai jutaan penonton di seluruh dunia.

Kejohanan tersebut juga dianggap signifikan buat perkembangan sukan sepak takraw kerana buat pertama kali Piala Dunia ISTAF berjaya menarik sokongan penajaan utama selain penglibatan kerajaan, kementerian, sektor korporat dan rakan komersial yang mahu melihat sepak takraw berkembang sebagai produk sukan antarabangsa yang lebih kukuh.

Namun, PSM berpandangan insiden yang berlaku ketika final antara Malaysia dan Thailand memberi kesan negatif terhadap imej profesional sukan itu pada saat kejohanan sedang menerima perhatian antarabangsa yang luas.

Sebagai tuan rumah, Malaysia bersama jawatankuasa penganjur turut memikul tanggungjawab besar bagi memastikan keseluruhan perjalanan kejohanan berlangsung lancar dan tersusun. Pelbagai aspek pengurusan termasuk penyelarasan kerajaan, operasi pertandingan, pengurusan tempat, urusan siaran dan penglibatan penajaan dilaksanakan bagi memastikan standard kejohanan antarabangsa dapat dipenuhi.

PSM turut memberi peringatan bahawa tindakan enggan meneruskan permainan berpotensi menjejaskan persepsi umum terhadap kredibiliti kejohanan selain memberi implikasi terhadap keyakinan penaja, penyiar serta peluang rundingan komersial pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, Abidullah turut meminta ISTAF menilai semula penglibatan pegawai terbabit dan menentukan sama ada siasatan lanjut atau tindakan disiplin perlu dipertimbangkan di bawah kerangka tadbir urus badan induk antarabangsa itu.

“Saya dengan segala hormatnya meminta ISTAF untuk menyemak semula tindakan dan penglibatan pegawai-pegawai yang berkenaan dan mempertimbangkan sama ada siasatan, penjelasan atau tindakan tatatertib lanjut diperlukan di bawah rangka kerja tatatertib dan tadbir urus ISTAF,” katanya lagi.

Di sebalik kontroversi yang mengiringi aksi final tersebut, skuad negara kendalian Ahmad Jais Baharun tetap berjaya muncul juara acara regu berpasukan sekali gus menghadiahkan gelaran kedua Malaysia dalam kejohanan berkenaan selepas turut menguasai acara kuadran.

Kejayaan itu bagaimanapun terus dibayangi perdebatan mengenai insiden pada penghujung perlawanan yang kini menunggu penelitian lanjut daripada ISTAF.