SUKAN

Pertama kali berlaku dalam Sejarah Piala Dunia

Buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia, empat pasukan yang menghuni empat kedudukan teratas Ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berjaya melangkah serentak ke pentas separuh akhir, sekali gus mencipta detik bersejarah dalam kejohanan edisi 2026.

Sepanyol selaku pasukan nombor satu dunia akan menentang Perancis yang berada di tangga ketiga ranking FIFA, manakala Argentina yang menduduki ranking kedua bakal membuat perhitungan dengan England yang berada di kedudukan keempat. Dua aksi itu akan menentukan dua pasukan yang layak beraksi di pentas final Piala Dunia 2026.

Pencapaian tersebut turut dikaitkan dengan perubahan format undian yang diperkenalkan FIFA khusus untuk kejohanan kali ini. Menerusi sistem baharu itu, empat pasukan yang menduduki ranking tertinggi dunia diletakkan dalam kuadran berasingan bagi memastikan mereka tidak akan bertemu sebelum saingan separuh akhir.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya boleh dimanfaatkan sekiranya setiap pasukan berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara kumpulan masing-masing. Syarat tersebut berjaya dipenuhi Sepanyol, Argentina, Perancis dan England sekali gus membolehkan laluan mereka dalam fasa kalah mati kekal berasingan sehingga empat pasukan terakhir.

Susunan itu menyebabkan Sepanyol tidak berpeluang bertemu Argentina sebelum aksi final, manakala England dan Perancis pula berada pada laluan berbeza sepanjang pusingan kalah mati. Keadaan itu menjadikan pertembungan antara pasukan-pasukan berprofil tinggi hanya berlaku apabila saingan memasuki separuh akhir.

FIFA sebelum ini menjelaskan bahawa perubahan format berkenaan diperkenalkan bagi memastikan keseimbangan kompetitif menerusi pembentukan dua laluan berasingan menuju ke separuh akhir. Pendekatan itu bertujuan mengatur perjalanan pertandingan supaya pasukan pilihan utama tidak bertemu terlalu awal dalam kejohanan.

Perancangan tersebut kini menjadi realiti apabila jadual separuh akhir menyaksikan Sepanyol bertemu Perancis, sementara Argentina pula berdepan England bagi merebut tempat ke final.

Konsep pemisahan pasukan pilihan sebenarnya bukan sesuatu yang baharu dalam dunia sukan. Wimbledon telah lama menggunakan pendekatan seumpama itu, manakala format baharu Liga Juara-Juara turut mengaplikasikan sistem yang bertujuan mengelakkan pertemuan awal melibatkan pasukan pilihan.

Ranking FIFA sendiri mula diperkenalkan pada tahun 1994, namun ketika itu sistem berkenaan tidak digunakan sebagai asas dalam proses undian Piala Dunia. Dalam beberapa edisi selepas itu, kedudukan tinggi dalam ranking dunia juga tidak semestinya menjamin kejayaan di pentas terbesar bola sepak.

Antara contoh yang pernah berlaku ialah Belgium pada Piala Dunia 2022, Jerman pada 2018, Sepanyol pada 2014, Itali pada 2010 dan Perancis pada 2002. Kesemua pasukan tersebut berada dalam kelompok empat terbaik ranking FIFA ketika memasuki kejohanan, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Malah sejak Piala Dunia 1998, tidak pernah berlaku situasi yang menyaksikan keempat-empat pasukan teratas ranking FIFA berjaya mara bersama ke separuh akhir dalam edisi yang sama. Kejayaan yang dicapai pada tahun ini sekali gus menamatkan penantian panjang dan mencipta rekod baharu dalam sejarah pertandingan.

Ketika FIFA mengumumkan perubahan format undian bagi Piala Dunia 2026, badan induk bola sepak dunia itu secara terbuka menjelaskan objektif utama mereka. Antaranya ialah mengelakkan pertembungan terlalu awal membabitkan pasukan gergasi yang sering menjadi tumpuan peminat di seluruh dunia.

FIFA turut menyasarkan supaya perlawanan berprofil tinggi dapat disimpan untuk peringkat akhir kejohanan, sekali gus meningkatkan nilai komersial serta daya tarikan Piala Dunia.

Dalam format terdahulu yang melibatkan 32 pasukan, juara kumpulan tidak boleh bertemu sesama sendiri pada pusingan 16 terbaik. Keadaan itu secara tidak langsung sudah membantu mengurangkan risiko pertemuan awal antara pasukan pilihan.

Namun selepas jumlah peserta diperluaskan kepada 48 pasukan dan satu lagi pusingan kalah mati ditambah, kemungkinan berlakunya pertemuan awal antara juara kumpulan menjadi lebih tinggi. Situasi tersebut telah pun berlaku pada pusingan 32 terbaik apabila Amerika Syarikat menentang Belgium, England bertemu Mexico dan Switzerland berdepan Colombia.

Atas sebab itu, FIFA berpendapat perubahan terhadap format undian perlu dilaksanakan bagi mengelakkan pasukan elit tersingkir terlalu awal. Setakat ini, percaturan badan induk tersebut dilihat mencapai matlamat apabila empat pasukan terbaik ranking FIFA berjaya memenuhi sasaran dan kini hanya selangkah lagi untuk melangkah ke pentas final Piala Dunia 2026.