SUKAN

Low Zi Yu-Genevie Lim jadi bualan hangat

Kejayaan Low Zi Yu-Genevie Lim mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 bukan sahaja menamatkan penantian selama 34 tahun, malah membuka persoalan lebih besar mengenai perjalanan mereka selepas meninggalkan pentas remaja.

Pasangan negara menjadi perhatian selepas menjuarai acara beregu wanita di Kaherah, Mesir, sekali gus mencatat pencapaian yang belum pernah dilakukan wakil Malaysia sejak Kejohanan Dunia Remaja mula dipertandingkan.

Bagi Zi Yu, kejayaan tersebut menjadi penamat kepada dua kekecewaan berturut-turut di pentas final.

Dia sebelum ini memenangi pingat perak bersama Dania Sofea pada 2024 sebelum sekali lagi muncul naib juara bersama Noraqilah Maisarah pada 2025.

Pada percubaan ketiga, Zi Yu akhirnya berjaya menukar warna pingat kepada emas bersama Genevie.

Pemain berusia 16 tahun itu mengakui tekanan sempat dirasai ketika pasangan Jepun memberikan tentangan sengit dalam final.

“Saya rasa tekanan itu terus hilang, ketika itu Jepun sudah kejar banyak mata buatkan saya tertekan kerana akan dapat perak, tetapi naib menyebelahi untuk dapat emas.

“Saya rasa kemampuan gandingan kami ini belum ke tahap senior lagi, mungkin boleh lawan tetapi jika menang belum cukup, perlu berlatih lagi,” kata Zi Yu.

Pengakuan itu menunjukkan pemain muda negara tersebut tidak mahu terlalu cepat berpuas hati walaupun sudah memiliki gelaran dunia remaja.

Malah, Zi Yu sendiri melihat jurang antara peringkat remaja dan senior masih besar dan memerlukan lebih banyak latihan sebelum mereka benar-benar mampu mencabar secara konsisten.

Genevie pula menikmati pengalaman cukup istimewa apabila terus muncul juara dalam penampilan pertamanya di kejohanan berkenaan.

“Ini pencapaian terbaik saya dalam debut pertama, terima kasih gandingan saya banyak membantu dalam gelanggang,” katanya.

Di sebalik kejayaan tersebut, jurulatih beregu wanita remaja negara, Amelia Anscelly, melihat Zi Yu sebagai antara aset paling penting yang perlu diurus dengan berhati-hati.

“Dia pemain yang luar biasa, kami perlu jaga dia. Saya tidak boleh katakan lebih, keputusan sudah tunjukkan.

“Dia sangat berbeza, kefahaman dia lebih cepat dan matang. Fizikal juga lebih sesuai untuk tahap ini,” katanya.

Bagi Amelia, cabaran selepas ini ialah memastikan transisi daripada skuad remaja ke peringkat senior berjalan dengan baik.

Ia penting supaya prestasi serta keyakinan yang sudah dibina tidak terhenti selepas kejayaan di Kaherah.

Sasaran jangka panjang turut semakin jelas apabila Zi Yu-Genevie mula mengintai peluang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Namun, berdasarkan pengakuan Zi Yu sendiri, fokus terdekat bukan mengejar sasaran terlalu jauh.

Mereka terlebih dahulu perlu meningkatkan tahap permainan, membina kekuatan fizikal dan menyesuaikan diri dengan intensiti beregu wanita senior.

Gelaran dunia remaja sudah berada dalam genggaman.

Kini cabaran lebih besar bermula — memastikan dua pemain muda itu dapat membawa kejayaan tersebut ke pentas senior dan berkembang menjadi pasangan yang mampu bersaing dengan beregu terbaik dunia.