Pasangan pilihan utama, Aaron Tai-Noraqilah Maisarah Ramdan menepati ramalan apabila mempertahankan pingat emas acara beregu campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mengatasi tentangan sengit wakil Kelantan dalam perlawanan akhir.
Dalam aksi di Pusat Konvensyen Setia City, pasangan Melaka itu menundukkan Kang Khai Xing-Chan Wen Tse menerusi pertarungan tiga set 21-18, 21-23, 21-8. Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Noraqilah mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada SUKMA Sarawak 2024.
Kemenangan itu turut menjadi penutup bermakna buat Aaron yang membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA. Beliau mengakui gembira dapat menyumbangkan pingat emas kepada Melaka meskipun perlu berhadapan pasangan yang mempunyai pengalaman sebagai pemain negara.
“Saya rasa gembira sebab boleh menang pingat ini untuk Melaka, negeri kita. Tambahan pula, ini SUKMA terakhir saya, jadi memang manis dapat tutup dengan emas.
“Bagi saya, pertemuan dengan Kang Khai Xing memang rasa tidak biasa sebab sebelum ini kami selalu bermain bersama, tetapi kali ini dia jadi lawan dan kami hanya anggap ia sebagai pertandingan untuk negeri masing-masing,” katanya selepas perlawanan, hari ini.
Pertemuan dengan Kang Khai Xing memberikan cabaran berbeza kepada Aaron kerana mereka merupakan pasangan dalam acara beregu lelaki. Namun, kedua-duanya mengetepikan hubungan sebagai rakan sepasukan dan memberikan tumpuan kepada tanggungjawab mewakili negeri masing-masing.
Aaron-Noraqilah memenangi set pertama 21-18 sebelum Kang Khai Xing-Chan Wen Tse mengheret perlawanan ke set penentuan selepas meraih set kedua 23-21. Pasangan Melaka itu kemudian meningkatkan penguasaan dan menamatkan set ketiga dengan kemenangan meyakinkan 21-8.
Noraqilah berkata kejayaan tersebut menjadi hadiah bermakna kepada gandingan mereka, terutama kerana ia merupakan penampilan terakhir Aaron di SUKMA. Beliau turut mengakui keadaan angin menjejaskan jangkaan mereka pada set kedua sehingga membawa kepada beberapa kesilapan mudah.
“Kiranya kemenangan ini bolehlah dianggap sebagai hadiah buat gandingan kami, lebih-lebih lagi ini SUKMA terakhir Aaron.
“Dalam perlawanan ini juga, sewaktu set kedua itu, angin kuat dan jangkaan kita menjadi sedikit terganggu sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah,” katanya.
Pasangan Pulau Pinang, Tan Zhi Yang-Nicole Tan Pei En meraih pingat gangsa dalam acara beregu campuran.
Dalam saingan beregu lelaki, Wilayah Persekutuan memenangi emas menerusi Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen yang menewaskan pasangan senegeri, Damien Ling Tang Le-Ethan Oh Joon Hui, 21-16, 21-12. Gangsa menjadi milik wakil Johor, Toh E Hern-Wee Ye Tern.
Perak pula meraih emas beregu wanita selepas pasangan kebangsaan, Chong Jie Yu-Vannee Gobi bangkit mengatasi wakil Wilayah Persekutuan, Leong Hwee Ling-Teh Xin Ying, 15-21, 22-20, 21-8. Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yi terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.