SUKAN

Chong Wei bidas pemain ‘tekan’ BAM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan daripada pemain dan menegaskan setiap isu perlu ditangani melalui perbincangan secara profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pemain perlu mengingati sumbangan badan induk itu yang membentuk mereka sejak peringkat awal. Menurutnya, BAM menyediakan latihan, kemudahan serta persekitaran pembangunan sebelum seseorang pemain muncul sebagai nama besar dalam arena badminton dunia.

Beliau menegaskan kejayaan memenangi gelaran utama, termasuk kejuaraan dunia, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memberi tekanan kepada persatuan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan karier pemain.

“Pemain datang dari mana? Masa kecil-kecil mereka berlatih di mana? Mereka berlatih di ABM (Akademi Badminton Malaysia). Daripada mereka tiada apa-apa dan sekarang mereka ada sesuatu, siapa yang bantu mereka? BAM.

“Kalau setakat anda menang gelaran juara dunia, kemudian gunakan itu untuk memberi tekanan kepada persatuan, saya rasa persatuan tidak takut. Sekarang pengurusan baharu BAM memang tidak takut, saya boleh beritahu terus,” katanya ketika dihubungi.

Chong Wei berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang memberi bayangan akan mempertimbangkan semua pilihan, termasuk kemungkinan bergerak secara profesional. Pertimbangan itu dikaitkan dengan usaha memastikan gandingannya bersama Aaron Chia dikekalkan bagi merealisasikan impian memburu pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Masa depan Aaron-Wooi Yik menjadi tanda tanya selepas rombakan barisan kejurulatihan beregu lelaki negara yang diketuai Herry Iman Pierngadi sejak bulan lalu. Rombakan berkenaan menyaksikan beberapa gandingan diuji bersama pasangan berbeza.

Namun, pasangan nombor empat dunia itu membuktikan mereka masih berkemampuan sebagai satu kombinasi apabila muncul naib juara Kejohanan Dunia di New Delhi, India, Ahad lalu. Mereka tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi final, tetapi pencapaian tersebut mengukuhkan hujah bahawa Aaron-Wooi Yik masih mampu bersaing di pentas tertinggi.

Pada masa sama, tindakan meninggalkan BAM bukan perkara mudah kerana kedua-dua pemain masih terikat dengan kontrak bersama badan induk itu sehingga 2028. Sebarang keputusan untuk keluar boleh menyebabkan mereka berdepan tuntutan pampasan yang besar, selain kemungkinan dikenakan sekatan daripada menyertai kejohanan antarabangsa.

Chong Wei berkata, pemain perlu menggunakan saluran yang betul jika berdepan masalah dan tidak menjadikan hasrat meninggalkan BAM sebagai tekanan terhadap persatuan.

“Jangan cakap mahu keluar BAM atau apa-apa untuk memberi tekanan kepada persatuan. BAM sekarang dengan pengurusan baharu memang tidak takut.

“Kita boleh bincang semua perkara. Anda mahu apa-apa, duduk berbincang apa yang kita boleh bantu, kita kena bantu. Kita akan beri perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, BAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pemain bagi mendapatkan penyelesaian terbaik, tetapi hubungan kedua-dua pihak perlu berasaskan sikap saling menghormati.

“Kalau pemain sudah buat keputusan apa, dia boleh bincang dengan jurulatih dulu, boleh bincang dengan Rexy Mainaky (pengarah kejurulatihan beregu). Kalau tidak suka sesuatu perkara, bincang.

“Tetapi jangan gunakan perkara itu untuk memberi tekanan kepada persatuan. Tidak boleh,” katanya.