SUKAN

TERKINI : Vietnam sapu RM2.5 juta

Kejayaan Vietnam mempertahankan kejuaraan Piala ASEAN buat kali kedua berturut-turut menyaksikan skuad itu membawa pulang keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah AS$620,000, kira-kira RM2.5 juta.

Jumlah berkenaan merangkumi RM2 juta sebagai hadiah juara selepas Vietnam menewaskan Thailand dengan agregat 4-2 pada aksi final, selain RM483,300 menerusi bayaran penyertaan kejohanan.

Bayaran penyertaan itu meningkat hampir 60 peratus berbanding edisi sebelumnya.

Thailand yang muncul naib juara pula menerima hampir RM1.7 juta, merangkumi RM1.2 juta hadiah tempat kedua serta RM483,300 bayaran penyertaan.

Malaysia dan Singapura yang menamatkan cabaran di peringkat separuh akhir masing-masing memperoleh RM886,000, termasuk RM402,750 hadiah wang tunai dan RM483,300 bayaran penyertaan.

Sementara itu, lapan lagi pasukan yang tersingkir di peringkat kumpulan masing-masing menerima RM483,300 sebagai bayaran penyertaan.

Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) turut mengucapkan tahniah kepada Vietnam atas kejayaan menjuarai Piala ASEAN 2026, yang juga merupakan kejuaraan keempat negara itu dalam sejarah pertandingan berkenaan.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata kejayaan tersebut cukup bermakna ketika bola sepak Asia Tenggara meraikan ulang tahun ke-30 kejohanan rantau itu.

Menurutnya, pertandingan berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap persaingan pasukan kebangsaan, malah memainkan peranan dalam membentuk komuniti bola sepak yang semakin berkembang di Asia Tenggara.

“Sepanjang 30 tahun dan 16 edisi, Piala ASEAN membantu meningkatkan standard dan daya saing pasukan kebangsaan di samping memupuk komuniti bola sepak yang semakin bersemangat di seluruh Asia Tenggara.

“Setiap ahli gabungan berhak mengekalkan hasil jualan tiket yang dijana daripada semua perlawanan di laman sendiri sepanjang kejohanan, sekali gus menyediakan sumber pendapatan tambahan yang penting bagi menyokong pembangunan berterusan bola sepak.

“Kami berharap langkah ini dapat memberikan sokongan yang bermakna kepada ahli gabungan dan pasukan kebangsaan masing-masing ketika mereka terus berkembang, bersaing dan maju,” katanya.