Bekas atlet terjun negara, Kimberly Bong Qian Ping, berkongsi satu perkembangan penting dalam kehidupannya selepas mendedahkan bahawa dia telah memeluk agama Islam pada Julai lalu.
Perkara itu dikongsikan Kimberly menerusi akaun Instagramnya dengan bekas penerjun negara berkenaan menyifatkan keputusan tersebut sebagai antara momen paling bermakna buat dirinya.
βNever been prouder of the decision I made in July. Truly one of the most special moments. Alhamdulillah π€,β katanya menerusi hantaran berkenaan.
Kimberly menamatkan karier sebagai penerjun pada 2024 selepas hampir 15 tahun terlibat dalam arena sukan berkenaan.
Dia sebelum ini dikenali menerusi penyertaan dalam acara 3 meter papan anjal dan platform 10 meter.
Kimberly mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa ketika berusia 14 tahun apabila beraksi pada Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia pada 2016.
Kariernya turut dihiasi beberapa kejayaan termasuk pingat emas pada Sukan SEA dan Terbuka Malaysia pada 2023.
Selain itu, Kimberly pernah meraih pingat perak dan gangsa masing-masing pada edisi Sukan SEA 2021 dan 2017.
Bekas penerjun negara itu juga dilaporkan bakal mendirikan rumah tangga dengan bekas penyerang skuad Bawah 23 (B23) negara, Danial Asri, yang kini beraksi bersama DPMM.
Perkembangan terbaharu Kimberly itu mendapat perhatian peminat selepas dia berkongsi detik berkenaan menerusi media sosial.