SUKAN

Saya buat keputusan bukan untuk jaga hati orang – Chong Wei

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan setiap keputusan yang dibuat ketika menjalankan tanggungjawabnya tidak pernah berasaskan kepentingan peribadi, sebaliknya mengambil kira kepentingan badan induk badminton negara serta negara.

Bekas jaguh perseorangan negara itu berkata, beliau memahami kedudukan yang disandangnya menyebabkan setiap keputusan bakal menerima pelbagai reaksi, khususnya apabila ia membabitkan perkara berkaitan prestasi dan pemilihan pemain.

Namun, Chong Wei tidak mahu pandangan atau kritikan pihak tertentu menjadi penghalang kepadanya untuk membuat keputusan yang dianggap perlu dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

“Saya buat keputusan untuk kebaikan negara dan kebaikan BAM. Kita bukan asyik mahu jaga hati orang kerana memang susah. Ada orang tahu badminton dan kata kita buat benda betul, ada yang tidak tahu badminton pula kata kita buat benda salah.

“Kalau saya duduk di tempat ini dan tiada keputusan, orang marah saya juga. Kalau ada keputusan, saya gembira kerana saya tahu saya sudah menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei menjelaskan keputusan mengetepikan Soh Wooi Yik daripada skuad Sukan Asia Aichi-Nagoya bukan keputusan yang dibuat beliau secara bersendirian.

Menurutnya, proses itu berdasarkan cadangan daripada barisan kejurulatihan beregu yang bertanggungjawab menilai prestasi dan keadaan pemain sebelum senarai nama dikemukakan untuk pertimbangan.

Beliau berkata, tugasnya adalah menerima nama yang dicadangkan jurulatih sebelum proses pemilihan dimuktamadkan. Penjelasan itu sekali gus menolak tanggapan bahawa beliau secara peribadi membuat keputusan untuk tidak membawa Wooi Yik ke temasya berkenaan.

“Kita ada jawatankuasa, kita ada jurulatih. Jurulatih yang beri saya senarai nama dan saya luluskan,” katanya.

Chong Wei turut mengakui tanggungjawab yang dipikulnya hadir bersama tekanan, termasuk kritikan yang dilontarkan menerusi media sosial.

Meskipun cuba mengelak daripada membaca reaksi berkenaan, beliau berkata terdapat pihak yang mengambil tangkap layar komen tertentu sebelum menunjukkannya kepadanya.

Beliau mengakui ada komen yang menyebabkan dirinya berasa kecil hati, namun memilih menerima perkara itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab selepas dilantik memegang jawatan berkenaan.

“Saya serius tidak mahu tengok media sosial. Tetapi ada orang tangkap skrin dan tunjukkan kepada saya. Saya kecil hati, tetapi tidak mengapa. Ini tanggungjawab saya,” katanya.

Bagi Chong Wei, tekanan dan perbezaan pandangan tidak boleh mengalih perhatian daripada matlamat utama jawatankuasa berkenaan. Fokusnya kekal untuk memastikan keputusan berkaitan prestasi dibuat berdasarkan pertimbangan yang diberikan oleh pihak kejurulatihan serta keperluan BAM.

Pada masa sama, beliau menegaskan tanggungjawab yang diterimanya perlu dilaksanakan melalui keputusan yang jelas, meskipun tidak semua pihak akan bersetuju dengan setiap langkah yang diambil.

Matlamat utama, menurut Chong Wei, tetap tertumpu kepada usaha memastikan pemain mampu mencapai kejayaan, manakala kritikan yang hadir perlu diterima sebagai sebahagian daripada cabaran dalam menjalankan tugas tersebut.