Ibarat ‘mati’ hidup semula, skuad sepak takraw negara bangkit daripada kedudukan genting untuk menewaskan Indonesia 2-1 sekali gus mara ke final acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium, hari ini.
Kemenangan penuh dramatik itu menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun terpaksa berjuang sehingga regu ketiga selepas Indonesia terlebih dahulu mendahului 1-0.
Malaysia mempertaruhkan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi dalam regu pertama.
Trio negara bermula positif apabila memenangi set pertama 15-10, namun Indonesia bangkit untuk merampas set kedua 15-13.
Pertarungan set penentuan berlangsung sengit sebelum Indonesia sekali lagi menang 15-13, sekali gus meletakkan Malaysia dalam situasi wajib menang bagi dua regu berikutnya.
Dengan kedudukan keseluruhan 0-1, harapan negara kemudian dihidupkan semula oleh regu yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam.
Regu berkenaan berjaya memberikan mata penting kepada Malaysia untuk menyamakan kedudukan 1-1 dan membawa pertarungan ke aksi penentuan.
Segala-galanya kemudian bergantung kepada regu ketiga yang menampilkan Muhammad Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan.
Beraksi dalam tekanan tinggi dengan tiket final menjadi taruhan, trio negara berjaya menyempurnakan kebangkitan sensasi untuk memberikan mata kedua kepada Malaysia.
Keputusan 2-1 itu memastikan skuad negara melangkah ke final dan kini hanya dipisahkan satu kemenangan daripada mencipta sejarah baharu di bumi Jepun.
Malaysia kali terakhir meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki pada Sukan Asia Beijing 1990.
Selepas penantian selama 36 tahun, peluang untuk kembali berdiri di podium tertinggi kini terbuka luas buat skuad negara.