Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dianggarkan perlu menyediakan perbelanjaan sehingga AS$60,000 atau kira-kira RM244,900 sebulan sekiranya mahu mendapatkan khidmat jurulatih Jepun bertaraf tinggi untuk mengendalikan Harimau Malaya.
Ejen bertauliah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah berkata, nilai sebenar pakej bergantung kepada profil, pengalaman antarabangsa serta reputasi jurulatih yang menjadi sasaran.
Menurut Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, jurulatih dari Jepun yang mempunyai rekod pencapaian kukuh di peringkat Asia dijangka memerlukan komitmen kewangan sekurang-kurangnya AS$30,000 atau kira-kira RM122,440 sebulan.
“Kalau untuk jurulatih yang betul-betul berada di aras tertinggi dan ada nama di peringkat Asia, saya rasa paling minimum pun FAM kena sediakan sekitar AS$30,000 sebulan.
“Tetapi kalau untuk yang lebih baik, sudah tentu tawarannya boleh jadi lebih tinggi, mungkin maksimum boleh mencecah sehingga AS$60,000.
“Jadi, FAM kena sedia untuk melabur besar kerana kita tidak boleh setakat ambil jurulatih yang biasa-biasa sahaja untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya. Kita kena pastikan kita mendapat pulangan lumayan dengan nilai dilaburkan,” katanya.
Perbincangan mengenai jurulatih Jepun kembali mendapat perhatian selepas portal berita negara itu, Sakanowa, melaporkan pengendali skuad kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu, antara nama yang dikaitkan dengan kerusi jurulatih Harimau Malaya.
Laporan berkenaan memetik media Vietnam, Tien Phong, yang menyebut nama Moriyasu ketika FAM dikatakan sedang mempertimbangkan pilihan jurulatih asing untuk masa depan.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, menafikan terdapat sebarang rundingan atau hubungan rasmi dengan Moriyasu setakat ini.
“Belum ada langkah konkrit di pihak FAM lagi. Kami akan membincangkan isu ini secara mendalam,” kata Ghani.
Kenyataan itu bermakna nama Moriyasu ketika ini kekal sekadar dikaitkan melalui laporan media dan belum boleh dianggap sebagai calon rasmi FAM.
Dalam masa sama, anggaran yang diberikan Effendi menunjukkan bahawa sekiranya FAM benar-benar mahu mendapatkan jurulatih Jepun dengan profil tinggi, badan induk itu perlu bersedia dengan pelaburan kewangan yang besar.
Skuad Harimau Malaya ketika ini masih dikendalikan Tan Cheng Hoe secara interim.
Cheng Hoe baru-baru ini berjaya membawa Malaysia menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA di tempat ketiga.
Justeru, sebarang keputusan mengenai jurulatih tetap selepas ini dijangka menjadi antara perkara penting dalam perancangan FAM, khususnya jika badan induk itu mahu mendapatkan pengendali yang mempunyai pengalaman dan reputasi di peringkat Asia.