SUKAN

“Kami sudah menulis kepada kedutaan kita di Paris “

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah berjaga-jaga menjelang Terbuka Perancis apabila menghubungi Kedutaan Malaysia di Paris susulan situasi tidak menentu akibat gelombang protes yang melanda ibu kota Perancis.

Terbuka Perancis yang bertaraf Super 750 dijadualkan bermula esok di Arena Grand Paris, Tremblay-en-France, di timur laut Paris, dengan beberapa pemain utama negara sudah berada di sana bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan senarai nama pemain serta jurulatih Malaysia yang berada di Perancis kepada kedutaan.

Langkah itu dibuat bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan segera sekiranya keadaan keselamatan bertambah buruk.

“Kami sudah menulis kepada kedutaan kita di Paris dan memaklumkan mereka mengenai nama pemain serta jurulatih yang terbabit dalam kejohanan ini.

“Kami berharap pihak kedutaan dapat membantu sekiranya berlaku apa-apa,” kata Kenny.

Buat masa ini, BAM tidak menerima sebarang arahan atau makluman bahawa kejohanan akan ditangguhkan atau dibatalkan.

Tiada pemain Malaysia juga menarik diri daripada pertandingan berikutan situasi semasa di Perancis.

“Buat masa ini, tiada penarikan diri. Kejohanan juga belum dibatalkan,” katanya.

Terbuka Perancis dijadualkan berlangsung sehingga Ahad dan barisan negara kini meneruskan persiapan seperti biasa dengan BAM terus memantau perkembangan keselamatan.

Antara pemain Malaysia yang dijadualkan beraksi ialah juara Terbuka Denmark, Pearly Tan-M. Thinaah, selain Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Aaron Tai-Yap Roy King, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Jun Hao.

Kejohanan kali ini berlangsung ketika Perancis berdepan situasi tegang susulan demonstrasi berkaitan peningkatan kos sara hidup serta keadaan di sekolah.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, kira-kira 110,000 orang menyertai protes di Paris pada Sabtu lalu.

Polis dilaporkan melakukan 855 tangkapan di sekitar wilayah Paris selepas tercetusnya kekacauan.

Di seluruh Perancis, kementerian berkenaan menganggarkan kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi, manakala penganjur mendakwa jumlah kehadiran mencecah 800,000.

Menjelang Ahad, jumlah tangkapan di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 2,400 orang, manakala hampir 1,000 anggota polis mengalami kecederaan.

Walaupun situasi di luar gelanggang menimbulkan kebimbangan, kempen Malaysia di Terbuka Perancis setakat ini kekal berjalan mengikut perancangan.

BAM kini memilih untuk mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan memastikan Kedutaan Malaysia mengetahui keberadaan semua pemain dan pegawai negara sekiranya bantuan diperlukan sepanjang kejohanan.