SUKAN

TERKINI : FAM beri kuasa penuh

Keputusan berkaitan pemilihan, penilaian dan penstrukturan barisan jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) serta Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee bersama jawatankuasa yang dilantik.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, FAM memberikan mandat penuh kepada Ong Kim Swee untuk menilai keseluruhan program pembangunan tersebut, termasuk aspek kejurulatihan, bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat memberi impak positif kepada pembangunan jangka panjang pemain muda negara.

Menurut beliau, kepercayaan itu mencerminkan keyakinan FAM terhadap pengalaman dan kepakaran teknikal Ong Kim Swee dalam mengurus program pembangunan berstruktur, khususnya dalam memastikan NFDP dan AMD mencapai objektif yang ditetapkan.

Mohd Yusoff menegaskan bahawa FAM tidak akan campur tangan dalam urusan teknikal, sebaliknya memberi ruang sepenuhnya kepada jawatankuasa berkaitan untuk membuat penilaian secara telus dan profesional.

“Bagi urusan-urusan ini, semua kita serahkan kepada jawatankuasa beliau. Mungkin Kim Swee akan lihat semuanya dan memang tujuan kita bawa Kim Swee untuk memperbaiki apa-apa kelemahan yang ada,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut bertujuan memastikan setiap kelemahan sedia ada dapat dikenal pasti dan diperbaiki secara sistematik, termasuk dari segi pengurusan jurulatih yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemain muda.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengakui bahawa terdapat jurulatih yang telah dilepaskan serta beberapa lagi yang masih dalam penilaian, namun menegaskan bahawa semua keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal dan keperluan program.

“Kita kena beri kepercayaan kepada Kim Swee dan pasukannya untuk menentukan apa yang terbaik untuk NFDP dan AMD. Maksudnya sekarang ini ada 12 orang yang sudah dilepaskan dan ada ‘pending’ itu termasuk yang di bawah pengawasan beliau,” katanya.

Beliau memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jurulatih terlibat, sambil menegaskan bahawa keputusan tersebut perlu dihormati demi menjaga profesionalisme dan kelancaran proses penilaian.

“Saya tak mahu cerita atau jawab siapa yang dilepaskan dan siapa yang dikekalkan. Kita serah kepada kebijaksanaan Kim Swee untuk memastikan program ini menghasilkan keputusan lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Laporan BH Sukan sebelum ini menyebut bahawa seramai 26 jurulatih NFDP dan AMD didakwa terkesan selepas perkhidmatan mereka ditamatkan, melibatkan 14 jurulatih di peringkat negeri dan 12 jurulatih AMD.

Perkembangan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan, namun Mohd Yusoff menegaskan bahawa langkah yang diambil adalah sebahagian daripada proses penambahbaikan struktur pengurusan.

Menurut beliau, setiap keputusan berkaitan jurulatih dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk memperkukuh sistem dan melahirkan jurulatih berkualiti tinggi yang mampu menyumbang secara efektif kepada pembangunan pemain muda.

“Siapa pun yang masih digunakan atau dilepaskan, itu hak mereka untuk menentukan. Tentu sekali perkiraan mereka adalah untuk lebih baik, untuk pengurusan lebih baik dan untuk kita ada jurulatih lebih berkualiti,” katanya.

Mohd Yusoff menekankan bahawa matlamat utama FAM adalah memastikan NFDP dan AMD terus menjadi platform pembangunan yang kukuh, konsisten dan berkesan dalam melahirkan bakat muda berkualiti.

Beliau percaya bahawa penstrukturan semula yang dilakukan dengan pendekatan profesional akan membantu mempertingkatkan kualiti latihan serta keberkesanan keseluruhan program.

Dalam jangka panjang, Mohd Yusoff yakin bahawa kepercayaan penuh yang diberikan kepada Pengarah Teknikal NFDP akan membawa perubahan positif kepada landskap pembangunan bola sepak negara.

FAM, katanya, akan terus memainkan peranan pemantauan secara menyeluruh, namun menghormati sepenuhnya kebebasan teknikal yang diberikan kepada jawatankuasa berkaitan demi memastikan hala tuju pembangunan bola sepak negara kekal konsisten dan berdaya saing.