Kritikan pedas yang dilemparkan bekas penyerang England, Michael Owen terhadap Mason Mount selepas aksi Manchester United menentang Sunderland terus mencetuskan perhatian apabila bapa pemain tengah itu tampil mempertahankan anaknya secara terbuka di media sosial.
Mount yang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama selepas lima bulan diberikan peluang beraksi penuh ketika Manchester United seri tanpa jaringan menentang Sunderland di Stadium of Light hujung minggu lalu. Ia menjadi detik penting buat pemain berusia 27 tahun itu selepas melalui tempoh panjang dibelenggu kecederaan.
Bagaimanapun, persembahan Mount dalam perlawanan tersebut menerima kritikan daripada Owen ketika bertugas sebagai penganalisis di Sky Sports. Bekas penyerang Liverpool itu menyifatkan pemain tengah berkenaan masih jauh daripada tahap yang diharapkan selepas Manchester United membelanjakan £60 juta bagi mendapatkan khidmatnya daripada Chelsea pada 2023.
Menurut Owen, Mount gagal memberikan pengaruh yang cukup besar di bahagian tengah selain kelihatan kurang intensiti ketika mengawal tempo permainan.
“Mason Mount bekerja keras, tetapi ketika ini dia masih jauh daripada tahap yang diharapkan Manchester United ketika mereka menandatanganinya.
“Dia kelihatan agak perlahan ketika menguasai bola, lambat dalam transisi permainan dan tidak cukup mempengaruhi bahagian tengah.
“Anda boleh lihat United sangat merindui pemain seperti Casemiro di tengah padang kerana tiada kawalan atau autoriti sebenar di kawasan itu.
“Malah pemain seperti Benjamin Sesko membantu struktur pasukan menerusi pergerakan dan kehadirannya di bahagian serangan.
“Ketika ini, Sunderland kelihatan lebih bertenaga dan tajam di kawasan tengah. Manchester United memerlukan lebih intensiti dan karakter daripada Mount kerana perlawanan seperti ini memang menuntutnya,” katanya.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak diterima baik oleh Tony Mount yang mempertahankan keadaan sebenar anaknya selepas tempoh pemulihan panjang akibat kecederaan.
Menerusi Instagram, Tony menyelar komen Owen dengan menyifatkan bekas pemain antarabangsa England itu tidak memahami situasi sebenar yang sedang dihadapi Mount.
“Mungkin tidak beraksi dalam kesebelasan utama selama lima bulan ada kaitan dengan dia nampak berkarat. Owen, awak memang bodoh,” tulisnya.
Reaksi keras tersebut memperlihatkan tekanan besar yang sedang dihadapi Mount sejak menyertai Manchester United. Sejak berpindah dari Chelsea, pemain tengah itu bergelut untuk mengekalkan kecergasan dan konsistensi akibat masalah kecederaan yang berulang.
Sepanjang hampir tiga musim di Old Trafford, Mount hanya mampu membuat 70 penampilan. Statistik itu menggambarkan bagaimana kecederaan menjejaskan ritma permainan serta proses penyesuaiannya dalam sistem United.
Musim ini sahaja, Mount terlebih dahulu mengalami kecederaan kecil pada Disember sehingga menyebabkan dia terlepas dua perlawanan sebelum satu lagi masalah kecergasan memaksanya diketepikan dalam enam aksi antara Februari dan Mac.
Dia kembali menyertai skuad ketika kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa pada Mac, namun hanya sempat beraksi selama 26 minit sebelum kembali melalui proses pemulihan yang panjang.
Situasi itu menjadikan penampilan menentang Sunderland sebagai ujian besar buat pemain berkenaan dari sudut fizikal dan mental. Selepas tidak berada dalam kesebelasan utama selama lima bulan, Mount masih perlu mencari semula rentak permainan terbaik selain menyesuaikan diri dengan intensiti sebenar saingan Liga Perdana.
Walaupun terus menjadi sasaran kritikan, Mount tetap menunjukkan keyakinan terhadap kemampuannya untuk membantu Manchester United bangkit semula.
“Saya sentiasa percaya kepada diri sendiri. Saya tahu kemampuan saya dan apa yang boleh saya bawa kepada pasukan.
“Saya suka menjadi sebahagian daripada kelab besar ini. Ini musim ketiga saya dan masa berlalu begitu pantas. Saya kini lebih matang dan mempunyai lebih pengalaman. Akan ada lebih banyak perlawanan musim depan.
“Menjadi sebahagian daripada usaha membawa kelab ini kembali ke puncak, tempat yang sepatutnya mereka berada, sangat istimewa. Saya sudah merasai sedikit nikmat menjulang trofi bersama kelab ini dalam Piala FA Cup. Ia luar biasa.
“Untuk memenangi Liga Perdana? Saya sendiri tidak dapat bayangkan betapa istimewanya perasaan itu nanti,” katanya kepada BBC.
Sementara itu, pengendali interim United, Michael Carrick turut mempertahankan pemain tersebut dan menganggap Mount masih memiliki peranan penting dalam skuad.
Carrick percaya pemain tengah itu memerlukan masa untuk mengembalikan tahap kecergasan serta ketajaman permainan selepas tempoh panjang tidak beraksi secara konsisten.
“Dia sememangnya pemain berpasukan. Dia pemain sangat saya gemari dan masih banyak lagi yang boleh ditampilkan Mason. Kami cuma perlu memberinya masa untuk kembali cergas sepenuhnya dan bersabar, tetapi dia kini berada di landasan yang baik,” katanya.
Namun, kedudukan Mount dalam skuad Manchester United dilihat masih belum benar-benar selamat. United dilaporkan mahu memperkukuhkan bahagian tengah menjelang jendela perpindahan musim panas dengan sekurang-kurangnya dua pemain baharu menjadi sasaran.
Antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah Carlos Baleba, Mateus Fernandes, Elliot Anderson, Adam Wharton serta pemain Atalanta, Ederson.