Skuad 26 pemain Korea Selatan yang dibimbing Hong Myung Bo tetap akan menerima bonus sebanyak 80 juta won (RM211,000) setiap seorang walaupun tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Korea Selatan gagal mara ke pusingan 32 terbaik selepas tewas 0-1 kepada Mexico dan Afrika Selatan selepas membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Czechia.
Mereka menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata dan perbezaan gol negatif.
Kedudukan ke-34 daripada 48 pasukan itu turut menjadi pencapaian terburuk Korea Selatan dalam sejarah penyertaan Piala Dunia.
Mengikut struktur ganjaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Korea (KFA), setiap pemain akan menerima 50 juta won (RM133,600) sebagai bonus penyertaan selain tambahan 30 juta won (RM80,000) hasil kemenangan ke atas Czechia.
Bayaran tambahan sebanyak 10 juta won (RM26,400) bagi keputusan seri turut disediakan namun Korea Selatan tidak mencatat sebarang keputusan seri sepanjang kejohanan.
Secara keseluruhan, KFA akan membayar 2.08 bilion won (RM5.5 juta) kepada skuad 26 pemain terbabit.
Kegagalan melepasi peringkat kumpulan turut menyebabkan pemain terlepas peluang menerima ganjaran yang lebih besar.
KFA sebelum ini memperuntukkan bonus tambahan 100 juta won (RM264,000) bagi setiap pemain sekiranya mara ke pusingan 32 terbaik, 200 juta won (RM528,000) untuk pusingan 16 terbaik dan 300 juta won (RM792,000) jika layak ke suku akhir.
Sumbangan yang dijanjikan Presiden KFA, Chung Mong Gyu juga terbatal susulan kegagalan pasukan mara lebih jauh.
Beliau sebelum ini berjanji untuk menyumbang 1 bilion won (RM2.64 juta) jika Korea Selatan mara ke pusingan 32 terbaik, 2 bilion won (RM5.2 juta) untuk pusingan 16 terbaik dan 3 bilion won (RM7.92 juta) bagi suku akhir.
Jumlah bonus kali ini jauh lebih rendah berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar apabila pemain Korea Selatan menerima sehingga 340 juta won (RM898,000) setiap seorang selepas berjaya mara ke pusingan 16 terbaik buat kali kedua di luar negara.