SUKAN

Doa saya dimakbulkan – Azizulhasni

Datuk Mohd Azizulhasni Awang menamatkan perjalanan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan pencapaian tertinggi apabila muncul juara acara keirin lelaki di Glasgow 2026, sekali gus merealisasikan impian yang telah lama disimpan. Kemenangan di Velodrom Sir Chris Hoy itu bukan sahaja menghadiahkan pingat emas, malah menghapuskan episod kekecewaan lalu termasuk kegagalan meraih emas sebelum ini serta pembatalan kemenangan pada edisi New Delhi 2010.

Prestasi yang dipamerkan dalam perlumbaan akhir memperlihatkan kematangan taktikal yang tinggi apabila pelumba berusia 38 tahun itu berjaya mengawal tempo perlumbaan dengan penuh disiplin. Walaupun berdepan saingan sengit daripada pelumba yang memiliki kelebihan dari segi kuasa kayuhan, Azizulhasni berjaya memanfaatkan pengalaman serta ketepatan membuat keputusan pada saat kritikal.

Dalam nada penuh emosi, beliau mengakui kejayaan tersebut lahir daripada keyakinan serta doa yang tidak pernah terhenti sepanjang berada di Glasgow.

“Saya berdoa sangat dekat Allah setiap hari. Saya cakap, ‘Ya Allah, tolonglah berikan saya pingat emas. Saya nak sangat akhirkan kerjaya saya ini dengan pingat emas.’ Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya.

“Ini Sukan Komanwel terakhir saya, dapat pula emas… tiada lagi yang saya boleh minta. Saya nak buktikan kepada diri sendiri dan kepada dunia bahawa saya masih boleh menang pada usia 38 tahun.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah membuktikannya kepada seluruh dunia,” katanya.

Dalam perlumbaan tersebut, Azizulhasni menewaskan pelumba Australia, Leigh Hoffman yang meraih perak, manakala wakil England, Harry Ledingham-Horn menduduki tempat ketiga. Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh.

Pendekatan perlumbaan yang diambil jelas berasaskan kesabaran dan kawalan strategi, dengan Azizulhasni tidak tergesa-gesa untuk membuat serangan awal. Sebaliknya, beliau menunggu detik sesuai sebelum memintas Hoffman di selekoh pertama, satu keputusan yang akhirnya membuka ruang untuk beliau menguasai perlumbaan hingga ke penamat.

Beliau turut mengakui bahawa dari sudut kekuatan fizikal, dirinya bukanlah yang paling dominan dalam kalangan finalis, namun kelebihan dalam aspek taktikal menjadi faktor penentu.

“Seperti yang anda semua saksikan, saya benar-benar sebak selepas dibuai emosi sebaik perlumbaan itu berakhir. Saya rasa sangat sebak dan sangat tidak percaya kerana kalau dibandingkan dengan semua pelumba dalam final tadi, saya ialah pelumba yang mempunyai tahap kuasa kayuhan lebih rendah.

“Saya mengambilnya selangkah demi selangkah. Saya percaya kepada diri sendiri dan kemampuan saya. Dalam keirin, yang paling utama ialah taktikal.

“Hari ini saya membuktikan kepada dunia bahawa saya ialah pelumba paling bijak dari segi taktikal dalam acara keirin,” katanya.

Rekod penyertaan Azizulhasni di Sukan Komanwel memperlihatkan kesinambungan prestasi apabila sebelum ini beliau pernah meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan pada 2010 serta keirin pada 2014 di Glasgow. Penampilan di Glasgow 2026 merupakan yang keempat buat beliau di temasya tersebut.

Kejayaan ini bukan sahaja signifikan dari sudut individu, malah memberi impak besar kepada kontinjen negara apabila menghadiahkan pingat emas ketujuh Malaysia di Glasgow. Selain itu, ia turut menjadi emas pertama buat skuad berbasikal trek negara, sekali gus memperlihatkan peningkatan prestasi dalam disiplin tersebut di peringkat antarabangsa.