SUKAN

Bergson memang sudah cedera sebelum — Xisco Munoz

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz memuji semangat juang penyerang utama pasukan, Bergson da Silva yang tetap mahu membantu Harimau Selatan meskipun berdepan masalah kecederaan ketika menentang Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Penyerang naturalisasi negara itu menjadi perhatian selepas hanya beraksi kira-kira tujuh minit sebagai pemain gantian, namun sempat menjaringkan gol penting sebelum terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, malam Selasa, Bergson dimasukkan pada minit ke-57 bagi menggantikan Shahab Zahedi ketika JDT sedang mendahului 1-0.

Kehadirannya memberikan impak segera apabila beliau berjaya menggandakan kelebihan Harimau Selatan menerusi tandukan pada minit ke-62.

Bagaimanapun, kegembiraan penyerang berusia 35 tahun itu tidak bertahan lama apabila beliau terpaksa dikeluarkan dua minit kemudian dan digantikan dengan Stoichkov.

Xisco menjelaskan bahawa Bergson sebenarnya sudah mengalami masalah kecederaan sebelum menghasilkan jaringan tersebut, namun masih menunjukkan kesungguhan untuk membantu pasukan.

“Dia mengalami kecederaan sebelum menjaringkan gol.

“Dia mengalami kecederaan satu atau dua minit sebelum dimasukkan, perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak,” katanya selepas perlawanan.

Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, Bergson sudah memaklumkan mengenai keadaan fizikalnya, namun tetap mahu turun beraksi ketika pasukan memerlukan tambahan kekuatan di bahagian serangan.

Keputusan tersebut akhirnya memberikan hasil apabila Bergson berada pada kedudukan tepat untuk menyambut hantaran lintang Oscar Arribas sebelum menanduk bola ke arah gawang Port FC.

Jaringan berkenaan membolehkan JDT meningkatkan kelebihan kepada dua gol selepas Jonathan Silva terlebih dahulu memecahkan kebuntuan pada minit ke-53.

Walaupun kecederaan memaksanya meninggalkan padang lebih awal, sumbangan Bergson memberikan kelebihan penting kepada tuan rumah dalam usaha memastikan tiga mata penuh.

Stoichkov yang masuk menggantikannya kemudian turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-86 bagi melengkapkan kemenangan 3-0 buat Harimau Selatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Xisco mengesahkan pihak kejurulatihan sedang menunggu hasil pemeriksaan perubatan bagi mengetahui tahap kecederaan sebenar yang dialami Bergson.

Pemain itu dijadualkan menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) bagi membantu pasukan perubatan membuat penilaian lanjut.

Setakat ini, belum ada pengesahan mengenai tempoh pemulihan ataupun sama ada kecederaan tersebut akan menjejaskan penyertaan Bergson dalam perlawanan akan datang.

Perkembangan itu menjadi perhatian memandangkan JDT dijadualkan berdepan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada 3 November depan.

Harimau Selatan kini mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan ACLE selepas mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Bagi Xisco, kesungguhan Bergson untuk membantu pasukan meskipun berdepan masalah kecederaan menjadi antara perkara yang menyerlah dalam kemenangan penting JDT di pentas Asia.